suria

Kes Penderaan Seksual Kanak-Kanak Meningkat

KOTA KINABALU: Kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Sabah yang dicatatkan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am negeri mencatatkan peningkatan kepada 186 kes pada tahun lepas berbanding 14 kes pada 2014, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Beliau berkata kira-kira 50 peratus daripada jumlah kes yang direkodkan itu membabitkan penderaan seksual fizikal dan kira-kira 30 peratus adalah sumbang mahram.

Katanya kementeriannya memandang serius perkara itu dan mahu semua pihak memberi kerjasama membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mengetahui kejadian kesalahan seksual terhadap kanak-kanak berlaku di sekitar mereka meskipun ia melibatkan anggota keluarga sendiri.

"Kesedaran masyarakat di Sabah terhadap pentingnya melaporkan kesalahan tersebut kepada pihak berkuasa juga meningkat kerana mereka tahu ia jelas salah dari segi agama dan undang-undang.

"Kerjasama sukarelawan dan badan bukan kerajaan untuk bersama-sama turun padang memberi bantuan dan melindungi kanak-kanak yang menjadi mangsa juga amat diperlukan supaya jenayah ini dapat dibanteras," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bulan Kebajikan 2017 dan Forum Hentikan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak peringkat negeri di sini, Sabtu.

Majlis itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Sabah (Bakisa) Puan Sri Faridah Tussin yang juga isteri kepada Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Forum sehari itu bertujuan mendapatkan komitmen daripada semua pihak dalam usaha mencegah jenayah seksual terhadap kanak-kanak; meningkatkan kesedaran cara melindungi kanak-kanak daripada sebarang ancaman penjenayah serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pewujudan satu akta baharu berkenaan jenayah seksual kanak-kanak.

Dalam perkembangan berkaitan, Jainab turut mengalu-alukan usaha kerajaan menubuhkan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan menggesa penubuhan mahkamah itu dipercepatkan di Sabah.

Beliau berkata penubuhan mahkamah itu di negeri ini akan memudahkan lagi proses pendakwaan melibatkan kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan kes dapat diselesaikan segera.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penubuhan mahkamah khas itu akan diperluas ke 12 negeri secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan Sarawak, Selangor dan Johor.

Fasa kedua pula akan dilaksanakan di Kedah dan Perlis, Kelantan dan Pahang; fasa ketiga di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka; dan fasa keempat di Sabah, Perak dan Terengganu.

Mahkamah itu di negeri terbabit akan turut dilengkapi fasiliti sama di Putrajaya seperti Court Recording Transcription (CRT) dan Sistem Audio Visual, selain latihan pengkhususan kepada pegawai-pegawai kehakiman dan perundangan yang mengendalikan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak juga akan dilaksanakan bagi memastikan mahkamat tersebut dapat beroperasi dengan efektif.- Bernama

Dera Seksual

Artikel Sebelum

Luahan Akhir Nik Mohd Baihaqy

Artikel Berikut

Artikel Lain