suria

Ultraman Tunjuk Bakat Gunting Rambut

Ultraman membuat gaya menggunting rambut seorang pelanggan. Foto Facebook Boogie Woogie Barber Shop

PETALING JAYA: Kemunculan Ultraman di sebuah kedai gunting rambut di Pulau Pinang, Khamis lalu menggemparkan penduduk tempatan.

Menerusi beberapa gambar yang tular di media sosial,  adiwira tersebut bukan beraksi untuk bertarung melawan musuh, sebaliknya menunjukkan bakat menggunting rambut seorang pelanggan.

Bagaimanapun menurut pemilik kedai gunting, Boogie Woogie Barbershop di Sungai Ara di Bayan Lepas, Ultraman berkenaan bukan menggunting rambut pelanggan tetapi hanya membuat kemunculan istimewa di premisnya.

Nor Fadzly Hamizam, 32, berkata, tujuan kemunculan adiwira tersebut bagi memudahkan tugas menggunting rambut untuk pelanggan kanak-kanak.

“Kebiasaannya, kanak-kanak ini susah nak duduk diam bila nak digunting rambut. Belum lagi yang menangis, sampai mak ayah kena pujuk mereka.

“Kami gunakan pendekatan mesra pelanggan kanak-kanak yang dapat membantu menenangkan mereka sepanjang rambut digunting,” katanya kepada mStar Online.

Bukan setakat Ultraman, tetapi lebih banyak lagi adiwira dan maskot akan membuat kemunculan di Boogie Woogie Barbershop. 

Dikenali sebagai Cik Li, dia mengusahakan perniagaan kedai gunting rambut itu sejak setahun lalu bersama rakan niaga, Muhammad Nawawi Abdullah, 28.

Bukan setakat Ultraman, tetapi sebenarnya lebih banyak lagi adiwira dan maskot akan membuat kemunculan di Boogie Woogie Barbershop seperti Ironman, Spiderman, Mickey Mouse, Minnie Mouse, Hello Kitty, termasuk watak dari filem Star Wars.

“Kami berempat yang akan pakai kostum tu nanti, secara bergilir. Bagaimanapun, kami mohon maaf sebab tidak membuka tempahan awal termasuk memilih adiwira atau maskot. Semuanya dibuat secara ‘walk in’ untuk memastikan operasi berjalan lancar,” katanya. 

Bagaimanapun kata Cik Li, kemunculan adiwira atau maskot tersebut bukan dilakukan pada setiap hari tetapi dilakukan secara rawak untuk sesi tertentu.

“Kita akan membuat pengumuman di halaman rasmi Facebook tiga hari lebih awal mengenai tarikh dan waktu serta siapa adiwira atau maskot yang bakal muncul di kedai kami,” katanya sambil menambah sesi istimewa itu akan mengambil masa kira-kira empat jam. 

Adiwira atau maskot hanya membuat kemunculan istimewa, bukan menggunting rambut pelanggan.

Kedai gunting yang mempunyai empat tukang gunting sepenuh masa ini beroperasi setiap hari kecuali Isnin, dari pukul 2.30 petang sehingga 11malam.

Mengenai kemunculan Ultraman pada Khamis lalu, Cik Li memberitahu sesi percubaan itu mendapat sambutan menggalakkan terutama dalam kalangan pelanggan kanak-kanak.

Dia menjangkakan lebih ramai ibu bapa akan membawa anak-anak mereka untuk menggunting rambut dalam keadaan yang lebih selesa.

“Jangan risau, tukang gunting rambut tidak akan pakai kostum. Tapi adiwira atau maskot akan berada di sisi kanak-kanak supaya mereka lebih tenang.

“Selain itu, tiada caj tambahan untuk penampilan khas adiwira atau maskot ini,” katanya sambil menambah bahawa kadar yang dikenakan adalah RM20 untuk dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak. 

Ultraman, adiwira

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain