suria

Didenda RM2,000 Gara-Gara Pukul Bekas Kekasih

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang duda beranak dua menampar dan memukul bekas teman wanitanya menggunakan tangan dan sebatang kayu membawa padah apabila dia didenda RM2,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret pada Selasa.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Yap Voon Loong, 36, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap guru berusia 38 itu di sebuah taman permainan di Kepong dekat sini, pada 12 tengah malam, 31 Ogos lepas.

Buruh kasar itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman tersebut.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam  P. Sutheswary merayu mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk denda dengan alasan anak guamnya perlu bekerja bagi menyara dua anak dan ibu yang uzur.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran ke atas tertuduh.

Di Mahkamah Majistret berlainan, seorang tukang rumah didenda RM3,000 atau penjara empat bulan kerana mencederakan rakan dengan sebatang besi kerana memberitahu alamat tertuduh kepada along.

Chia Kee Won, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som.

Dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap pengusaha kopitiam berusia 36  tahun, dengan memukul lelaki itu menggunakan senjata yang boleh mendatangkan kematian di tempat letak kereta, Jalan Metro Perdana, Sentul di sini pada 3 pagi, 31 Ogos lepas. -Bernama

Pukul Bekas Teman Wanita

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain