suria

Wanita Maki Polis Ditahan

GEORGE TOWN: Seorang wanita ditahan selepas mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun anggota polis yang menyamannya di susur masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas malam Sabtu kerana melakukan kesalahan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A. Anbalagan berkata dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, wanita berusia 33 tahun berkenaan yang sedang memandu kereta, diberhentikan oleh anggota terbabit kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

"Suspek dimaklumkan yang dia melakukan kesalahan dan sebaik saman diserahkan kepada wanita itu, dia secara tiba-tiba mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun anggota polis yang bertugas.

"Anggota polis itu menasihati wanita berkenaan beberapa kali supaya tidak memakinya kerana dia hanya menjalankan tugas namun wanita terbabit tetap berdegil malah terus mengeluarkan kata-kata kesat," katanya ketika dihubungi di sini Ahad.

Katanya ekoran itu, polis terpaksa menahan wanita berkenaan bagi membantu siasatan kerana menghalang tugas polis. - BERNAMA 

PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Trafik Sesak Menuju Ibu Negara

Artikel Lain