suria

Cari Jodoh Guna Gambar Kawan

Pesanan peribadi yang dipercayai dikirim oleh Adib kepada pengendali laman Facebook Viral D Viral. - Facebook/Viral D Viral

PETALING JAYA: Lelaki yang tular kerana mahu mendapatkan 'pengantin segera' didakwa menggunakan gambar individu lain untuk mencari jodoh.

Setelah hajatnya itu dipenuhi apabila mendapat maklumbalas dalam kalangan wanita yang berminat menjadi isterinya, lelaki yang hanya dikenali sebagai Adib itu tampil membuat pengakuan kepada pengendali laman media sosial berkenaan. Malahan, perkara sebenar itu juga dihebahkan untuk pengetahuan ramai.

"Di sini saya mohon maaf kepada admin (pengendali laman) dan semua kerana menggunakan gambar teman dari Indonesia, sebenarnya saya tidak mahu mereka memilih saya kerana rupa.

"Bekas tunang saya dulu pilih saya kerana rupa dan dia pergi juga. Saya mahu dia (calon isteri) terima saya seadanya," katanya menerusi pesanan peribadi kepada Facebook Viral D Viral.

Pada Isnin, mStar Online melaporkan bahawa pemuda tersebut tetap ingin meneruskan majlis perkahwinan dalam tempoh sebulan lagi selepas putus tunang pada dua bulan lalu.

Pemuda berusia 30 tahun ini mendakwa berbuat demikian kerana kecewa setelah persiapan sebanyak 80 peratus untuk majlis perkahwinannya.

Adib menggunakan gambar rakannya dari Indonesia pada posting pencarian jodoh yang dimuat naik sebelum ini.

Selepas menerima pelbagai reaksi netizen, posting pencarian jodoh itu telah dipadam.

Sementara itu, Viral D Viral pula menyifatkan Adib sebagai melucukan kerana 'berdrama' dengan kisah cintanya yang tidak kesampaian itu.

"Admin nak tergelak dengan satu demi satu drama si Adib ni, tapi admin kasihan juga sebenarnya.

"Takpe la Adib, janji kau jangan permainkan perempuan yang kau dapat nanti," tulis pengendali laman itu pada malam Isnin.

Bagaimanapun, pengendali laman tersebut mendakwa pihaknya memahami tindakan Adib menggunakan gambar orang lain kerana pemuda berkenaan memiliki raut wajah yang tampan.

Pihaknya turut mendakwa telah membuat panggilan video terhadap Adib bagi mengesahkan tentang kesahihan identinya.

Adib, Viral D Viral

Artikel Berikut

Artikel Lain