suria

Ugut Bekas Kekasih Guna Pemadam Api Gara-Gara Hutang

ALOR SETAR: Gara-gara hutang tidak dilangsaikan, seorang penganggur sanggup bertindak ala lintah darah apabila menyembur bahan pemadam api ke rumah bekas teman wanitanya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Ismail Ibrahim berkata kejadian itu berlaku pada pukul 10.15 malam Jumaat di sebuah rumah di Kampung Salit, Mukim Gelong.

“Suspek datang ke rumah dan memanggil bekas teman wanitanya, tetapi wanita itu bersembunyi di dapur.

“Apabila dia kembali ke ruang tamu, dia melihat perabot-perabot diselaputi dengan buih putih,” kata Mohd Ismail.

“Lelaki itu berbuat demikian kerana mendakwa wanita itu tidak melangsaikan hutangnya,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 35 tahun itu mengugut untuk membunuh wanita berusia 31 tahun itu kerana gagal membayar hutang sebanyak RM3,500 kepadanya.

“Namun, wanita itu menafikan dan berkata, dia tidak pernah meminjam duit bekas teman lelakinya,” kata Mohd Ismail.

Polis menemukan alat pemadam api yang berada di luar rumah mangsa.

Kes itu akan disiasat di bawah seksyen 427 Kanun Seseksaan kerana perbuatan khianat dan seksyen 506 kerana ugutan jenayah.

Suspek dan mangsa merupakan pasangan kekasih yang menjalinkan hubungan selama dua tahun sebelum mereka berpisah.

Ugutan

Artikel Sebelum

Trio Wanita Penyeluk Saku

Artikel Berikut

Artikel Lain