suria

Tun M: Jangan Takut Undi Pembangkang

PETALING JAYA: Pengundi tidak perlu takut untuk mengundi pihak pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, parti berkenaan sedang membuat persediaan untuk PRU ke-14 melalui simulasi pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau menyedari bahawa pengundi mungkin takut untuk mengundi pembangkang kerana bimbang dengan kesan yang akan berlaku nanti.

"Ramai yang takut akan mengalami masalah jika tidak mengundi pihak kerajaan, tapi pengundi tidak perlu takut kerana kerajaan tidak tahu siapa yang mereka undi," katanya semasa sidang media di ibu pejabat parti itu pada Rabu.

Turut hadir ialah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ketika ditanya tentang dakwaan berhubung kaitan dirinya dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman terhadap pindaan Perlembagaan Persekutuan 1988 untuk mengurangkan kuasa kehakiman mahkamah, Dr Mahathir menjawab bahawa beliau tidak bertanggungjawab.

"Saya sudah jelaskan tentang perkara ini, bukan saya, ia adalah aduan daripada Agong, tapi peguam negara pada ketika itu tidak mahu mengaitkan Agong dan menggunakan nama saya lalu memberikan sebab kepada tribunal," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, PPBM akan menyambut ulang tahun pertamanya pada 8 September di Johor.

Tun Dr Mahathir

Artikel Sebelum

Lori Batu Ragut Nyawa

Artikel Berikut

Artikel Lain