suria

“Ramai Nak Jadi Pengantin Anime”

PETALING JAYA: Tanpa perlu berhabis ratusan ribu ringgit, wajah anime yang digilai ramai anak muda masa kini sebenarnya mampu direalisasikan hanya di negara sendiri.

Bermodalkan alat solek dan jari-jemari, seorang jurusolek telah berjaya melakukan transformasi pada wajah anak perempuannya menjadi watak ikon anime popular dari Jepun, Sailor Moon.

Lebih menarik, selepas selesai disolek, gadis anime Melayu itu dipakaikan dengan pakaian pengantin lengkap berhijab, tak ubah seperti Sailor Moon versi muslimah.

-foto Roza D'touch

Rosmaniza Abd Kadir, 37, berkata beliau tidak menyangka percubaan pertama solekan berkonsep anime yang dilakukan pada wajah anaknya, Nurliyana Darus, 17, itu 'menjadi' dan tular di media sosial.

"Masa tu kami tengah 'free' jadi saya cuba bereksperimen dengan muka anak saya dengan menyolek wajahnya menjadi patung Sailor Moon.

"Dari dulu lagi saya memang suka 'test' solek kawan-kawan dan ahli keluarga, anak lelaki saya pun selalu jadi bahan eksperimen," katanya kepada mStar Online.

Rosmaniza

Menurut Rosmaniza, selepas gambar 'patung hidup' anaknya tular, beliau telah dihujani mesej dan panggilan daripada mereka yang mahu wajah mereka disolek menjadi seperti patung atau watak-watak anime kesukaan mereka.

Malah, ramai juga yang meminta beliau membuka kelas solekan anime.

"Ramai rupanya yang minat untuk berwajah anime, bakal pengantin pun ramai minta, saya betul-betul tak sangka.

"Tapi ada juga yang kutuk kata mekap macam hantu dan saya tipu, saya cuma ambil pendekatan berdiam diri dan terima teguran yang membina," katanya.

Mengulas lanjut mengenai solekannya yang tular itu, wanita yang berasal dari Machang, Kelantan ini berkata beliau mengambil masa lebih tiga jam untuk menyiapkannya.

Katanya, solekan anime memerlukan fokus yang lebih di bahagian mata, kening dan hidung, tetapi cabaran dan tahap kesukaran bergantung kepada wajah individu yang disolek.

Paling penting katanya, solekan mesti licin, sekata dan sempurna.

"Macam anak saya memang mata dia besar tapi tetap tak mudah sebab ia sedikit tertojol dan kelopaknya tak sama besar.

"Keningnya juga tebal dan berselerak, jadi satu cabaran untuk saya menampakknya halus menggunakan teknik gam kening," jelasnya.

Ibu kepada dua anak ini berkata disebabkan terdapat banyak permintaan, beliau bersedia untuk mempertimbangkan khidmat solekan berkonsepkan patung atau anime untuk pelanggan yang percaya dengan sentuhannya.

"Tengok keadaan, kalau sesuai saya terima tapi mereka tak boleh jangkakan hasilnya seratus peratus sebab ia bergantung juga kepada bentuk wajah seseorang dan beberapa faktor lain," katanya.

Beliau yang berpengkalan di Kuantan, Pahang, ini berkata anggaran solekan jenis ini di kawasannya adalah RM450 hingga RM500, tetapi caj lebih akan dikenakan di luar kawasan.

wajah anime, mekap anime, Sailor Moon

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Caj Proses Visa China Naik

Artikel Lain