suria

Biar Gantung Di Dada Demi Sesuap Nasi

PETALING JAYA: Tanpa mempedulikan asap kenderaan yang menyesakkan nafas, seorang lelaki sanggup berdiri dan berpanas terik di tepi jalan dekat persimpangan lampu isyarat di Shah Alam pada Ahad demi satu tujuan.

Tindakan lelaki berambut sedikit uban itu menarik perhatian ramai kerana memegang kadbod hampir sebesar badannya yang ditulis berserta nombor telefon: "Jika anda memerlukan pemandu peribadi, pemandu untuk keluarga atau kedua-duanya, saya sedang mencari pekerjaan dengan segera. Saya berusia 45 tahun dan berpendidikan STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia).”

Malah tambah keterangan pada kadbod, lelaki tersebut seorang yang menyimpan rahsia, mempunyai kemahiran dalam seni mempertahankan diri dan mengutamakan keselamatan majikan, selain turut sedia bertugas di luar kawasan pada bila-bila masa.

Kisah lelaki bernama ‘Pakcik Romdon’ ini tular selepas dikongsikan seorang pengguna Facebook yang prihatin dengan harapan mendapat bantuan netizen.

Romdon Maseh ketika dihubungi mStar Online berkata, dia merupakan operator pengeluaran di sebuah kilang di Shah Alam tetapi diberitahu pihak pengurusan akan memperkecilkan operasi. 

Ditambah pula dengan kesempitan hidup ketika ini, anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor ini mencari jalan untuk mendapatkan pekerjaan dengan pendapatan lebih baik bagi menyara kehidupan keluarganya.

“Hari ini (Ahad) hari pertama saya berdiri dengan kadbod di tepi jalan di Seksyen 7, Shah Alam selama kira-kira empat jam sejak pukul 12 tengah hari. Tapi semalam (Sabtu) saya dah cuba mula buat dengan gantung kadbod di badan sambil bawa motor keliling Shah Alam.

“Mungkin apa yang saya buat ini nampak pelik tapi ini cara mudah untuk orang lebih faham. Biarlah saya gantung (kadbod) di dada, supaya orang tahu apa kehendak hati saya demi mencari sesuap nasi buat keluarga,” kata bapa kepada dua anak ini.

Romdon yang menetap di Seksyen 27, Shah Alam berkata, isterinya juga bekerja di kilang tetapi pendapatan bersih kedua-dua mereka selepas digabungkan masih tidak cukup untuk menyara kehidupan mereka.

Dia yang mempunyai pengalaman bekerja sebagai pemandu peribadi selama lima tahun berkata, banyak panggilan yang diterima selepas tindakanya ‘mengiklankan’ diri untuk mencari kerja pada Ahad.

“Banyak sangat, ada yang tawar jadi pengawal keselamatan, pembantu di kedai dan penghantar makanan. Malah ada yang tawarkan kerja yang saya anggap tak sesuai seperti menghantar gadis-gadis untuk bekerja di kelab malam.

“Tujuan saya mencari kerja sebagai pemandu peribadi atas faktor usia saya selain mempunyai pengalaman itu. Selagi kerjanya halal dan pendapatannya lebih tinggi berbanding sekarang, saya akan terima,” katanya.

Romdon turut menerima tawaran sebagai pemandu peribadi seperti yang diingininya tetapi masih dalam pertimbangan kerana memerlukan dia bekerja di Johor Bahru.

“Saya tak kisah jika perlu bekerja di luar kawasan selagi pendapatannya berbaloi dan masih berpeluang diberikan cuti untuk berjumpa keluarga,” katanya.

Bagaimanapun kata Romdon, dia tetap bersyukur kerana nasibnya lebih baik berbanding mereka yang menganggur dan hidup bergelandangan.

“Saya tahu masih ramai yang hidup susah, menganggur dan tak ada tempat tinggal. Tapi hidup saya sekeluarga juga perlu diteruskan dengan kos sara hidup semakin tinggi sekarang.

“Apa yang saya buat ini adalah usaha sendiri untuk kehidupan yang lebih baik. Tak salah kalau mencuba demi menyara hidup bersama isteri dan anak-anak,” katanya sambil merujuk kepada petikan ayat al-Quran yang berbunyi, ‘Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang pada diri mereka’.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain