suria

Sarawak Setuju Laksana Cukai Pelancongan

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak menerima pelaksanaan cukai pelancongan yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Julai ini, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Hamzah.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri di sini Khamis.

Abdul Karim berkata, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg telah menyatakan harapan beliau ketika pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya cukai perhotelan yang dikutip di negeri Sarawak disalurkan terus kepada kerajaan negeri tanpa perlu melalui mana-mana jabatan atau agensi.

"Ini adalah satu daripada kehendak kerajaan negeri yang disampaikan kepada perdana menteri," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet Sarawak.

Beliau berkata Abang Johari juga memaklumkan dalam mesyuarat pada Khamis bahawa perdana menteri telah memberi jaminan bahawa kutipan cukai itu akan diagihkan kepada tiga wilayah iaitu Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Di samping itu, katanya kerajaan negeri juga menyambut baik cadangan untuk mengecualikan cukai bagi rakyat Malaysia yang menginap di hotel bertaraf tiga bintang ke bawah.

Beliau bagaimanapun menyatakan banyak yang perlu diperhalusi antara kerajaan negeri dan persekutuan berkaitan pelancongan, sama ada mengenai cukai mahupun promosi di luar negara.

"Kita mahu melihat wujud kerjasama yang baik antara kementerian pusat dan negeri serta dengan badan dan agensi di bawahnya.

"Matlamat kita adalah untuk mempromosikan Malaysia dan untuk Sarawak lebih menjurus kepada mempromosikan negeri Sarawak," tambah beliau.

Mulai 1 Julai ini, cukai sebanyak RM2.50 akan dikenakan terhadap hotel yang tiada penarafan bintang, RM5 untuk hotel dua bintang, RM10 untuk hotel tiga bintang, RM15 untuk hotel empat bintang dan RM20 untuk hotel bertaraf lima bintang.

Bagaimanapun Abdul Karim berkata beliau tidak pasti sama ada ia boleh dilaksanakan mengikut tarikh yang ditetapkan memandangkan tempoh yang sangat singkat, malah hotel-hotel di Sarawak masih belum menerima apa-apa arahan daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata sebelum dilaksanakan, pengusaha hotel perlu diberi taklimat mengenai mekanisme pungutan cukai dan kepada pihak mana ia perlu dibayar. - BERNAMA

cukai pelancongan, Sarawak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain