suria

"Suci-Uris" Bantu Lelaki Buang Air Kecil

"Suci-Uris" ini memudahkan pengguna khususnya golongan lelaki membuang air kecil dengan mudah tanpa perlu ke tandas. fotoBERNAMA

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menghasilkan produk ''Male Urinal System'' yang dikenali sebagai ''Suci-Uris'' bagi memudahkan pengguna khususnya golongan lelaki membuang air kecil tanpa perlu ke tandas.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata produk yang dihasilkan kira-kira setahun menerusi penyelidikan gunaan itu tercetus bagi memudahkan golongan berkenaan terutama jemaah haji atau umrah untuk membuang air kecil ketika di Tanah Suci.

Beliau berkata produk yang menggunakan dana penyelidikan kurang RM100,000 itu telah mendapat status patuh syariah daripada Mufti Melaka serta sokongan Lembaga Tabung Haji dan kelulusan Sirim.

"Produk ''Suci-Uris'' ini telah menjalani ujian aliran semula bagi memastikan urin yang dibuang akan terus mengalir ke dalam beg urin yang dibekalkan bersama produk berkenaan.

"Selain untuk kegunaan jemaah haji atau umrah, produk ini juga sesuai untuk pengguna jalan raya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, pesakit di hospital atau rumah yang sukar bergerak serta membantu pelancong di luar negara yang sukar mendapatkan kemudahan tandas," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian selepas mewakili UTeM pada majlis penyerahan dokumen memorandum persetujuan pengkomersialan produk berkenaan oleh Spektrum Teknik Sdn Bhd, yang diwakili Pengarah Urusannya Azizan Ismail.

Mengulas lanjut, Shahrin berkata produk ''Suci-Uris'' bukan sahaja membantu pengguna membuang air kecil dengan mudah, malah ia dilengkapi dengan sistem semburan untuk mereka beristinjak dan produk itu telah dipaten dan dikeluarkan Spektrum Teknik bermula Mei lepas.

Sementara itu, Azizan berkata komponen produk berkenaan terdiri daripada bekas, beg urin dan pemegang khasyafah (zakar) yang disimpan di dalam beg mudah alih seberat 600 gram.

Beliau berkata produk berkenaan dihasilkan menggunakan plastik tahan lasak dan tidak mudah pecah yang dijual secara dalam talian di Facebook atau Instagram sepektrumsuci pada harga RM159.

"Kita lihat produk ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan sehingga kini kita telah mengeluarkan kira-kira 1,000 set ''Suci-Uris''.

"Buat permulaan, produk ini telah mendapat permintaan daripada pengguna di Indonesia dan kita jangkakan ia akan terjual lebih 15,000 unit dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata produk tersebut mudah dikendalikan kerana ia mesra pengguna dan sangat praktikal untuk semua lapisan umur. - BERNAMA

Suci-Uris, UTeM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain