suria

Adinda Sultan Selangor Mangkat

SHAH ALAM: Adinda kepada Sultan Selangor, Tengku Puteri Sofiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mangkat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Khamis.

Sumber dari Istana Selangor yang mengesahkan perkara itu berkata Almarhum Tengku Puteri Sofiah, 68, mangkat pada kira-kira 4 petang dan jenazahnya dibawa ke Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang untuk disembahyangkan.

"Majlis pemakaman jenazah Tengku Puteri Sofiah dijangka disempurnakan di Makam Diraja Shah Alam di Seksyen 5 di sini pada kira-kira 10 pagi Jumaat.

"Namun, tiada sebarang majlis istiadat negeri sempena kemangkatan Tengku Puteri Sofiah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam pada itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berangkat menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini malam Khamis.

Bacaan surah Yasin dan doa selamat untuk Almarhum Tengku Puteri Sofiah turut diadakan.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendoakan semoga roh Almarhum mendapat rahmat Allah SWT.

"Terima berita sedih kemangkatan YAM Tengku Puteri Sofiah, adinda Sultan Selangor. Moga roh (Almarhum) dicucuri rahmat. Al-Fatihah," katanya dalam catatan di laman Twitter. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain