suria

Peniaga Mengamuk Nak Dekat Raya, Gerai Kena Roboh

PETALING JAYA: Sekumpulan peniaga 'mengamuk' apabila berkuasa tempatan merobohkan gerai mereka, kurang tiga minggu sebelum sambutan Aidilfitri.

Dalam kejadian pagi Khamis, peniaga yang mencari rezeki berhampiran Projek Perumahan Rakyat Desa Tun Razak terkejut apabila didatangi penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kemudian merobohkan gerai-gerai milik mereka.

Seorang wakil peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Sam, 36, mendakwa kejadian ini tidak sepatutnya berlaku kerana rundingan tentang isu ini telah dibuat dengan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar baru-baru ini.

"Kita bersetuju untuk gerai-gerai dirobohkan selepas raya, tapi kami terkejut bila DBKL datang roboh hari ini.

"Siapa yang tak marah, raya dah nak dekat, macam mana kami nak cari duit untuk raya. Mereka tak tepati janji," katanya kepada mStar Online, Khamis.

Sam berkata sebanyak enam premis telah dirobohkan oleh DBKL pada hari ini. Selain gerai makan, turut dimusnahkan adalah premis cuci kereta dan bengkel motosikal.

"Sekarang yang tinggal hanyalah Kabin Belia Sejagat tempat penduduk di sini melakukan aktiviti sosial dan sebuah karaoke terbuka," katanya.

Sam berkata, mereka faham DBKL berhak melakukan perobohan ini tetapi kesal apabila penguatkuasa memilih untuk menjalankan kerja-kerja meroboh menjelang Aidilfitri.

"Kami sudah lama cari rezeki di sini, kenapa baru sekarang mereka nak ganggu kami. Bukankah kami sudah setuju roboh lepas raya," katanya yang tinggal di situ sejak 1998.

Rizalman ketika dihubungi mStar Online mengakui rundingan dengan kumpulan peniaga berkenaan supaya mereka mengosongkan gerai telah lama dibuat.

"DBKL juga telah keluarkan notis minta mereka kosongkan premis masing-masing...tak timbul isu roboh lepas raya," katanya.

Menurut Rizalman, kawasan tersebut akan ditambah baik dan medan selera baharu yang lebih sempurna akan dibina menggantikan gerai-gerai yang dirobohkan.

Katanya, peniaga yang terjejas juga akan dibayar pampasan sebanyak RM1,000 sebulan selama lima bulan, sementara menunggu medan selera itu siap.

Mengenai kekecohan yang berlaku di kawasan tersebut, beliau berkata apa yang dilakukan DBKL adalah mengikut undang-undang.

Rizalman berkata, seperti mana beliau tidak dapat menghalang tugas DBKL, begitu juga beliau tidak dapat melakukan apa-apa jika penduduk degil dan enggan mengosongkan premis mereka.

"Kita tiada niat lain melainkan mahu meningkatkan taraf kehidupan mereka, kita tak mahu mereka terus berniaga secara haram.

"Apa yang kita nak bagi kepada mereka adalah jauh lebih elok, cantik, bersih dan tersusun berbanding apa yang ada sekarang," katanya.

DBKL, mamak Cherry, Desa Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain