suria

Tak Dapat Cuti Raya, Apa Pramugara Ini Lakukan?

Shazuan Hazizi Rosli.

PETALING JAYA: Pengalaman seorang pramugara berbual bersama penumpang dalam pesawat mengenai ibadah berpuasa sepanjang Ramadan yang didedahkan menerusi Twitter telah tular di media sosial baru-baru ini.

Shazuan Hazizi Rosli, 23, yang bertugas dengan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines berkata, ia merupakan sebahagian daripada caranya menghiburkan hati sendiri yang tidak dapat cuti pada Aidilfitri untuk kali ketiga berturut-turut tahun ini.

“Saya memang suka berkongsi pengalaman, dan ia akan dibuat secara santai dan lucu kalau di Twitter. Apa yang saya kongsikan ini memang perbualan yang benar-benar berlaku bersama penumpang berkaitan dengan puasa.

“Saya juga nak menghiburkan hati sendiri sebab dah tiga tahun berturut-turut tak dapat cuti raya. Tahun pertama kena beraya di Shanghai, tahun kedua kena bertugas ke Chennai pada raya pertama dan raya kali ini kena ‘standby’ jadi kena duduk di rumah sahaja, tak boleh balik kampung di Temerloh,” katanya kepada mStar Online.


Bagaimanapun, Shazuan yang bertugas sebagai pramugara sejak empat tahun lalu berkata, dia menerima cabaran itu dan sedia menjalankan tanggungjawab di awan biru pada bila-bila masa.

Baru-baru ini, dia memuat naik siri perbualannya bersama penumpang sepanjang penerbangan dalam bulan Ramadan, sebahagiannya melucukan termasuk permintaan daripada penumpang yang tidak masuk akal.

“Saya seorang yang lucu. Beginilah saya berinteraksi dengan penumpang. Secara tidak langsung menghiburkan hati mereka. Saya senang hati bila mereka ketawa.

“Pada masa sama, saya juga perlu menghormati penumpang. Betul, ‘customer is always right’ tetapi bila ada permintaan yang pelik atau tak masuk akal, jadi saya perlu membalasnya dengan cara yang baik, termasuk dengan berjenaka,” katanya.


Menurut pramugara ini, antara pertanyaan yang sering diajukan penumpang sepanjang Ramadan adalah mengenai waktu berbuka puasa.

“Kita sentiasa buat pengumuman dalam penerbangan mengenai waktu berbuka puasa, tetapi mungkin segelintir mereka sudah terbiasa dengan azan yang menandakan mereka sudah boleh berbuka puasa. Ada juga bertanya kenapa hanya sediakan kurma untuk berbuka puasa, tetapi ketika itu adalah penerbangan jarak pendek yang tidak disediakan makanan berat.

“Saya juga sering kali ditanya tak sedih ke kalau kena bertugas semasa raya. Pernah sekali tu, saya jawab dengan menyanyi lagu raya yang sedih... ‘semua insan sedang gembira di hari ini sayang...’ dan penumpang pun ketawa,” katanya sambil merujuk kepada lagu raya ‘Bersabarlah Sayang’ dendangan penyanyi Sanisah Huri.

Shazuan berkata, dia tidak menyangka siri perbualannya bersama penumpang mendapat perhatian netizen yang menyifatkan ia lucu dan tidak terkecuali dikritik kerana segelintirnya bersifat sinis.


Namun katanya, bukan semua perbualan itu dijawab secara langsung kerana ada yang digambarkan sebagai suara hatinya supaya ia nampak santai dan menghiburkan.

“Bagi saya, bertugas sebagai pramugara perlu jadi diri sendiri bila berhadapan dengan penumpang. Saya perlu melayani mereka dengan baik sebagai manusia dan menganggap mereka seperti keluarga dan rakan-rakan. 

“Jika saya ada keluarga atau rakan-rakan yang menaiki penerbangan, sudah tentu saya mahu mereka juga dilayan dengan baik oleh kru kabin lain. Jadi, konsepnya mudah, berbaiklah sesama manusia,” ujar Shazuan.

Shazuan Hazizi Rosli, pramugara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Maut Dibakar Suami

Artikel Lain