suria

Tun M Sedia Jadi PM Dengan Syarat...

Tun Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan mempertimbangkan untuk menjadi perdana menteri 'bagi jangka masa yang singkat' jika terdapat kata sepakat dan tidak ada calon lain 'muncul' untuk jawatan itu.

Dalam satu laporan oleh Nikkei Asian Review yang diterbitkan pada Selasa, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata beliau mungkin kembali memegang jawatan perdana menteri jika pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.

"Jika tidak ada calon...Saya mungkin cuba, hanya dengan syarat semua orang bersetuju," jurnal perniagaan Jepun itu memetik beliau sebagai berkata.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menekankan bahawa fokus utama beliau adalah untuk membawa parti pembangkang menang kerana beliau mempunyai 'banyak pengalaman dalam memenangi pilihan raya'.

Bekas perdana menteri itu juga menyatakan bahawa beliau tidak menyalahgunakan kuasa sepanjang tempoh perkhidmatannya.

"Perdana menteri telah menjadi terlalu berkuasa. Saya pernah berkuasa tetapi saya tidak menyalahgunakan kuasa saya. Sebab itu saya dipilih semula lima kali," katanya.

Dr Mahathir berada di Tokyo pada Selasa untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-23 mengenai Masa Depan Asia, satu forum bagi pemimpin politik Asia.

Beliau adalah perdana menteri paling lama di Malaysia, memegang jawatan itu selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.

Terdapat kritikan bahawa semasa beliau menjadi perdana menteri, pentadbirannya telah menyekat kebebasan awam termasuk kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, dan kebebasan akhbar, antara lain.

Beliau juga dikritik kerana menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang telah dimansuhkan, untuk menutup mulut pengkritik dan menahan aktivis dan lawan politiknya.

Tun M, PPBM, perdana menteri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain