suria

Pukul Cucu Dengan Kayu Penggaru, Wanita Warga Emas Direman

PETALING JAYA: Di manakah ihsan nenek warga emas ini apabila sanggup membelasah cucu saudaranya bertubi-tubi dengan kayu penggaru bukan sekali dua, tetapi lebih 30 kali, hanya kerana kanak-kanak itu tertumpah makanan ketika sedang menikmati juadahnya.

Sejak Isnin, video berdurasi dua minit 50 saat, menjadi viral di laman sosial Facebook, menunjukkan wanita berkenaan berusia 62 tahun, memukul cucu perempuan berusia enam tahun itu sekurang-kurangnya 30 kali.

Ketika kejadian tersebut, kanak-kanak itu sedang makan bila wanita itu mengarahkan cucunya beredar dari meja makan sebaik saja makanannya tertumpah.

Bila sahaja mangsa bangun, wanita itu membelasahnya.

Kanak-kanak itu tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menangis menahan kesakitan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Azlin Sadari ketika dihubungi memaklumkan suspek adalah nenek saudara mangsa dalam kejadian yang berlaku di Puchong pada September 2016.

"Video berkenaan dirakam rakan baik suspek," katanya.

Wanita itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan ketika dihadapkan ke mahkamah pada Selasa.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Hairol Azhar Mohd Ishak membenarkan permohonan polis supaya wanita itu ditahan reman hingga 13 Jun depan.

Permohonan reman itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan terhadap wanita itu dijalankan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda yang boleh sampai RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita itu tiba di perkarangan mahkamah dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu dan bergari sambil diiringi anggota polis kira-kira jam 10 pagi. - BERNAMA

pukul cucu, warga emas

Artikel Lain