suria

Mi Udang Mak Andam, Air Locong King Coco Jadi Tumpuan

MERSING: Mi Udang Mak Andam, Air Locong King Coco adalah antara juadah berbuka puasa yang mendapat perhatian pengunjung di Bazar Ramadan, Taman Wawasan di sini yang juga bazar terbesar di daerah ini dengan menempatkan lebih 100 peniaga.

Mi Udang Mak Andam itu dijual oleh seorang perunding perkahwinan yang mengambil kesempatan di bulan puasa untuk menambah pendapatannya, Nurfarahani Azirah Apendi.

Wanita berusia 26 tahun yang berkongsi gerai bersama rakannya menjual makanan ala barat itu berkata, mee udang yang dihasilkannya adalah dari resepinya sendiri.

"Nama Mi Udang Mak Andam ini tercetus apabila keluarga saya mencadangkan nama itu yang dilihat bersesuaian dengan kerjaya saya sebagai pengusaha perunding perkahwinan.

"Sebenarnya mee udang ini juga adalah makanan kegemaran saya. Hobi saya juga suka memasak, jadi tidak salah kalau hasil dari air tangan saya ini saya kongsikan bersama pengemar mee udang di Mersing," katanya.

Seorang pemilik sebuah butik perkahwinan pula turut mengambil peluang menjual sejenis minuman yang dikatakan popular di Thailand yang diberi nama Locong.Locong adalah seolah-olah cendol yang ditambah dengan beberapa jenis buah-buahan tempatan yang boleh dipilih mengikut citarasa pembeli.

"Minuman ini sememangnya jarang kita dengar ketika hari biasa. Ia hanya ada ketika bulan Ramadan berikutan penyediaan untuk minuman locong ini agak rumit.

"Hasil jualan air saya ini buat masa ini sangat memberansangkan dengan harga RM5 secawan," kata Muhamad Zulhairi Ali, 30. - Bernama

Artikel Lain