suria

Lelaki Ditahan Cabul Wanita Di Tandas

Gambar sekadar hiasan.

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan polis pada Sabtu kerana disyaki mencabul seorang wanita pekerja hotel di tandas sebuah hotel bajet di Kluang Baru.

Ketua Polis Daerah Kluang,  ACP Mohamad Laham berkata suspek ditahan pada pukul 2.10 petang di Taman Kluang Barat, Kluang, selepas mangsa berusia 22 tahun itu membuat laporan polis pada pukul 6.45 pagi pada hari kejadian.

"Mangsa mendakwa lelaki tersebut bersenjatakan pisau pemotong daging dan menolaknya masuk ke dalam tandas sebelum berlaku pergelutan. Mangsa kemudian diugut dengan pisau sebelum dicabul," katanya menerusi kenyataan di sini pada Ahad.

Mohamad berkata mangsa mengalami kecederaan akibat pergelutan itu selain trauma akibat diugut bunuh sekiranya melaporkan kejadian tersebut kepada polis.

Beliau berkata hasil penahanan lelaki berkenaan, polis merampas sehelai baju sejuk, sehelai seluar jeans, sebuah motosikal jenis Honda EX5 berserta topi keledar bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah seksual manakala ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

Suspek kini direman selama empat hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, katanya.-Bernama

Cabul Pekerja Hotel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain