suria

Kempen Pengurangan Kompaun MBSA

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan kempen pengurangan kompaun sehingga 50 peratus sepanjang bulan Ramadan ini bagi memberi peluang kepada orang ramai menyelesaikan tunggakan kompaun kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata kempen itu bermula sejak 27 Mei lepas sehingga 30 Jun ini bagi menggalakkan Orang Kena Kompaun (OKK) membuat pembayaran itu supaya tidak dikenakan tindakan.

"Jenis-jenis kompaun yang layak mendapat pengurangan ialah kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 dan Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata turut mendapat pengurangan ialah kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007.

Shahrin berkata pengurangan kompaun kepada RM30 bagi kompaun di bawah Perintah Pengangkutan Jalan MBSA juga akan diberikan.

Katanya, orang ramai boleh membuat pembayaran kompaun di kaunter utama Wisma MBSA di Seksyen 14 di sini, pejabat cawangan Sungai Buloh, pejabat cawangan Kota Kemuning, pejabat cawangan Setia Alam dan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) pada setiap Sabtu.

Bagi kompaun kesalahan tempat letak kereta, OKK juga boleh menjelaskan bayaran melalui Maybank2U, kaunter Bank Muamalat dan kaunter Bank Rakyat, katanya.

"Saluran bayaran JomPAY juga telah diperkenalkan untuk memudahkan OKK kesalahan yang sama untuk membuat bayaran. OKK hanya perlu memasukkan ''biller code'' 6726, nombor kompaun pada ref1 serta nombor telefon pada ref2 dan seterusnya jumlah bayaran," katanya.

Sehubungan itu, Shahrin menyeru orang ramai khususnya yang memiliki tunggakan kompaun supaya menyelesaikan kompaun masing-masing.

Mereka boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55222882 atau 03-55105133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 atau layari laman sesawang MBSA di www.mbsa.gov.my untuk sebarang pertanyaan. - BERNAMA

kompaun, MBSA

Artikel Sebelum

Pilih Makanan Sihat - KKM

Artikel Berikut

Artikel Lain