suria

Pilih Makanan Sihat - KKM

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai supaya memilih makanan yang sihat dan selamat daripada kejadian keracunan makanan sepanjang bulan Ramadan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata pencemaran makanan boleh berlaku apabila makanan disediakan dalam keadaan tidak bersih atau dimakan melebihi empat jam selepas disediakan yang disimpan dalam suhu bilik.

"Para peniaga makanan untuk juadah berbuka puasa perlu sentiasa bertanggungjawab dengan mengamalkan kebersihan dalam pengendalian makanan selamat bagi memastikan makanan yang mereka sediakan tidak menyebabkan keracunan makanan," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya menegur penjual yang tidak mengamalkan kebersihan serta melaporkan premis yang kotor kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Pihak Berkuasa Tempatan terdekat.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya memanaskan dengan sempurna makanan yang hendak dimakan lewat malam atau semasa sahur. 

Ramadan, KKM

Artikel Berikut

Artikel Lain