suria

Diselamatkan Tapi Akhirnya Mati

PETALING JAYA: Ribuan haiwan terlindung yang dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mati di tangan pihak berkuasa itu tahun lalu disebabkan pengendalian yang tidak betul.

Haiwan itu yang kebanyakannya daripada spesies terancam dan eksotik telah diseludup atau disimpan secara haram oleh pemilik haiwan tempatan ketika ia dirampas.

Sumber berkata kekurangan kepakaran dan pengetahuan dalam menguruskan haiwan dalam kurungan membawa kepada kematian spesies tersebut.

Antara haiwan yang mati semasa dalam kurungan Perhilitan adalah 1,000 kura-kura Indian Star dan 10 Langur serta anaknya.

Dua spesies itu dirampas daripada peniaga haram masing-masing pada pertengahan 2016 dan 27 Mac lalu.

Haiwan lain yang turut mati di pusat penyelamatan hidupan liar Perhilitan termasuklah kucing hutan, anak kera termasuk siamang terancam dan murai batu.

Sumber berkata haiwan tersebut antara kebanyakan spesies lain yang dikurung di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Perhilitan di Sungkai, Perak dan Sungai Tengi, Selangor.

Perhilitan turut mempunyai 11 lagi pusat pemuliharaan lain di seluruh negara yang menempatkan hidupan liar yang dirampas.

Menurut sumber, kebanyakan pengendali kurang berpengalaman dalam menjaga dan menguruskan haiwan tersebut.

"Mereka tidak terlatih dan mempunyai sedikit pengetahuan atau kepakaran teknikal dalam menguruskan haiwan yang dikurung di pusat penyelamatan itu sebelum dihantar pulang ke negara asal," katanya.

"Oleh itu, haiwan tersebut telah diabaikan. Mereka tidak diberi makan dengan baik atau tidak ditempatkan dengan kemudahan yang sesuai.

"Faktor ini menyebabkan haiwan itu tertekan semasa dalam kurungan sekali gus mendedahkan mereka kepada penyakit dan kematian," kata sumber itu lagi.

Seorang bekas doktor haiwan Perhilitan berkata, terdapat keperluan renjer Perhilitan dilatih untuk menguruskan spesies tersebut.

"Ramai tidak tahu mengenai amalan terbaik untuk haiwan yang perlu diuruskan mereka.

"Mereka tidak mempunyai pengetahuan asas seperti karakter atau diet spesies dibawah jagaan mereka.

"Oleh itu, haiwan itu jatuh sakit, tertekan dan akhirnya mati," kata beliau.

Beliau berkata Perhilitan mempunyai doktor haiwan sendiri yang akan berurusan dengan spesies yang dirampas tetapi mereka dipinjamkan daripada Jabatan Veterinar.

"Ramai di antara kami dilatih dalam mengendalikan haiwan tempatan dan belajar menguruskan haiwan eksotik dan hidupan liar selepas menyertai Perhilitan," katanya.

Perhilitan, haiwan terlindung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain