suria

Insiden David Teo Dilempang Berlarutan, Episod Baru

PETALING JAYA: Insiden penerbit filem, David Teo dilempang pelawak Mat Over di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memasuki episod baru walaupun mereka telah berdamai selepas majlis tersebut.

Walaupun saling memohon maaf, terdapat pihak yang masih mahu menyambung episod ini dengan mengadakan perhimpunan aman di pejabat Metrowealth, yang terletak di Petaling Jaya.

Perhimpunan yang dinamakan Perhimpunan Aman Tanpa Senjata diadakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijadualkan diadakan pada Khamis, pukul 2 petang.

Mesej jemputan untuk membuat liputan telah diedarkan kepada pihak media, pagi Khamis.

"Ini berkenaan perkara David Teo yang telah bersikap biadab terhadap perdana menteri semalam di dalam Program TN50 Anak Seni Bersama PM," menurut mesej tersebut.

Malam Rabu, majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) kecoh selepas Mat Over, atau nama sebenarnya Sulaiman Yassin menampar David di depan perdana menteri.

Insiden itu berlaku ketika majlis dialog berlangsung apabila David dilihat mahu memberi pendapatnya dan pengacara Datuk Rosyam Nor membuka ruang kepada produser itu selama satu minit.

David dikatakan tidak berpuas hati cara Rosyam mengendalikan majlis sebagai moderator.

Berlaku sedikit ketegangan antara David dan Rosyam yang cuba mengawal keadaan sehinggalah Mat Over muncul lalu menampar muka David.

Mat Over, David Teo, lempang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain