suria

Cerai Dengan PKR Keputusan Tepat

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mempertahankan keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR walaupun dianggap sesetengah pihak akan merugikan parti itu.

Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, parti tidak perlu fikir panjang apabila melibatkan perkara yang melanggar perjuangan parti.

“Ramai penganalisis yang melihat ia satu langkah tidak betul kerana sifir politiknya merugikan PAS. Tetapi PAS adalah parti yang memberikan perhatian kepada prinsip perjuangan.

“Kalau ada prinsip perjuangan yang dilanggar, kita tidak fikir panjang untuk ambil tindakan putus hubungan dalam tahaluf siyasi,” katanya, lapor Sinar Harian, Rabu.

Beliau memberitahu, keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama itu juga adalah tindakan paling tepat.

“Kalau mengikut fahaman politik Barat, sesuatu yang dibuat mestilah mahu dapat sokongan ramai khususnya dalam PRU. Tetapi dalam politik Islam kita bukan saja melihat dari sudut kekuatan orang yang sokong.

“PAS adalah sebuah parti bertunjangkan politik Islam yang asasnya ialah politik yang benar.

"Jadi bagi Pemuda PAS, kita lihat putus hubungan dengan PKR ini adalah keputusan yang benar,” katanya.

Muhammad Khalil turut menafikan dakwaan yang mengatakan Pemuda Pas kurang bersuara dalam isu tersebut.

“Pemuda PAS sudah bawa perkara ini dalam muktamar untuk dibahas dan dilulus sebulat suara.

"Jadi ini satu suara dan signal yang sangat jelas daripada Pemuda PAS berkait hubungan dengan PKR.

“Majlis Syura Ulama juga telah lihat daripada semua aspek sebelum membuat keputusan. Pemuda PAS pastinya mendokong penuh keputusan tersebut,” katanya.

Pemuda PAS, PKR, Khalil Hadi

Artikel Berikut

Selangor Berdepan Krisis

Artikel Lain