suria

Suami Isteri Warga Emas Terima Ijazah

BANGGA... Razali dan isterinya Ramlah kelihatan ceria sambil dipeluk anggota keluarga mereka. fotoBERNAMA

BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri warga emas berasa gembira dan bersyukur kerana mencapai cita-cita untuk mendapat segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen ke-20 Open Universiti Malaysia (OUM) zon Utara di sini Sabtu.

Razali Mohd Noor,63, dan isterinya Ramlah Daud,62, masing-masing pesara kerajaan menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam pada majlis yang disampaikan Naib Presiden (Perancangan dan Strategi) OUM Prof Ramli Bahroom.

Razali yang berasal dari Teluk Intan, Perak, berkata selepas bersara daripada Jabatan Pergigian, Kementerian Kesihatan beliau dan isteri berhasrat untuk mendapatkan ijazah bersama-sama kerana tidak berpeluang berbuat demikian ketika muda.

"Saya memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Sains Matematik dari Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum ini tetapi saya pernah berjanji dengan isteri untuk bersama-sama belajar bagi mendapatkan ijazah serta konvokesyen bersama.

"Lagipun saya dan isteri berminat untuk mendalami bidang keagamaan jadi kami buat keputusan untuk mengambil kursus itu di OUM, malah tawaran yang dikeluarkan oleh universiti yang membuka peluang pengajian kepada warga emas membuatkan kami tidak menoleh ke belakang lagi,"katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Pada konvokesyen itu seramai 450 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah dalam bidang masing-masing.Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Pusat Pengajian Seberang Jaya, Nooraini Youp.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Sepanjang Hayat, Chiang Teng Keow, 65, berkata beliau merancang untuk menyambung pelajaran di peringkat ijazah di Universiti Awam (UA).

Chan, bekas akauntan sebuan hospital swasta dan berasal dari Jitra, Kedah berkata usia bukan penghalang kepadanya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, pegawai di pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu, Kedah, Nur Zarina Toh Abdullah, 51, berkata kejayaannya menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Pendidikan hari ini dituruti oleh tiga anaknya yang turut menyambung pelajaran di OUM.

Tiga orang anaknya iaitu Nur Amyra Syakira Mohd. Zailan, 27, Muhammad Amyrul Syazwan, 24 dan Nur Areefah Syahmimi, 21, kini mengikuti pengajian di OUM. - BERNAMA 

ijazah, OUM

Artikel Lain