suria

Vida Mahu Setanding PSY

PETALING JAYA: Dikenali ramai dengan tagline Qu Puteh Qu Puteh Barulah Putih!, usahawan selebriti Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida nampaknya masih tidak senang duduk dengan status yang dikecapi hari ini.

Bagi pengasas produk kecantikan yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida itu, beliau mahu cuba meneroka sesuatu yang baharu bagi memajukan empayar perniagaannya.

Kini, wanita kelahiran Machang, Kelantan ini mencuba nasib untuk bergelar penyanyi pula.

Bukan lagu berbahasa Melayu tapi Vida mengambil risiko untuk menyanyi dalam Bahasa Inggeris.

Namun, ibu kepada empat anak ini mengakui sudah bersedia dikritik dan dikecam melalui single pertamanya yang akan menemui peminat tidak lama lagi.

"Soal akan dikecam, saya awal-awal lagi sudah bersedia dengan perkara itu kerana setiap orang berhak memberi pandangan masing-masing.

"Cuma ingin saya tegaskan, saya bukan syok sendiri dan harap peminat menerima kehadiran saya di dalam industri hiburan. Saya juga mahu mereka sentiasa berada di belakang saya," katanya kepada mStar Online.

Jelas Vida, beliau terdorong untuk bergelar penyanyi kerana menganggap ia sebagai platform baharu untuk memperkenalkan jenama produknya ke peringkat global.

Katanya, beliau menjadikan penyanyi Korea Selatan PSY, Pikotaro yang terkenal dengan PPAP dan Rihanna sebagai inspirasi dalam menghasilkan lagu tersebut.

"Kita lihat kenapa PSY diterima satu dunia. Jadi untuk pergi ke pasaran global saya perlu perkenal diri saya. Saya harap saya dapat diterima seperti dia," katanya.

Ditanya mengenai perasaan memasuki studio rakaman malam Selasa, Vida berkata beliau teruja dan tidak sabar untuk mendengar hasil lagu sentuhan komposer terkenal, Edry Abdul Halim.

"Sudah tentu seronok. Kalau ikutkan ini kali kedua saya masuk ke studio. Dulu saya tak berapa yakin tapi sekarang saya lebih berani dengan kebolehan saya," katanya.

Menurut Vida, beliau memilih lagu berentak fun & cheeky yang sesuai untuk didengari semua lapisan umur bermula dari kanak-kanak kecil sehingga dewasa.

"Lagu ini juga berkonsep satu keluarga. Saya pasti liriknya senang diingat sesiapa sahaja daripada kanak-kanak mahupun orang tua," katanya.

Beliau berharap single pertamanya itu akan menemui peminat sebelum Ramadan ini.

Datuk Vida, PSY, penyanyi

Artikel Berikut

Artikel Lain