suria

Rakyat Malaysia Puji Kempen 3J

Burhan (kiri) mengedarkan pelekat 3J kepada pelanggan-pelanggannya di Original Penang Kayu Nasi Kandar, di SS2, Petaling Jaya, Selasa.

PETALING JAYA: Kempen anti-rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diadakan di seluruh negara semakin diterima ramai.

Orang ramai memuji kempen 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle) sebagai satu langkah yang betul dalam usaha memerangi rasuah.

Pelajar kolej Andrew Felix Lee, 18, berkata, beliau sangat menyokong inisiatif tersebut.

"Ia bermula dengan kita. Kita juga mempunyai peranan untuk dimainkan, bukan sahaja pihak berkuasa.

"Sebagai permulaan, saya sentiasa akan mengingatkan keluarga dan kawan-kawan saya untuk tidak memberi rasuah, tanpa mengira apa pun situasi mereka," katanya.

Rakan sekolejnya, Surakaia Mohan, juga berusia 18 tahun, berkata beliau berharap kempen itu akan mengubah tabiat sebahagian rakyat Malaysia yang cuba untuk 'settle' dengan polis apabila mereka ditahan atas sesuatu kesalahan.

"Rasuah adalah tabiat yang tidak baik dan setiap orang yang menawarkan rasuah harus berasa malu," katanya.

Pesara, Dicky Cheah, 61, memuji kempen 3J sebagai 'permulaan yang baik untuk menghapuskan rasuah di negara ini'.

"Apa itu rasuah? Ia seperti barah dan memakan diri secara perlahan-lahan sehingga anda tiada apa-apa," katanya.

Abang Hamzah, 60, pula berkata rasuah merosakkan moral dan prinsip-prinsip masyarakat, memberikan gambaran yang tidak baik kepada setiap individu.

"Ia adalah satu penyakit yang mana semua rakyat Malaysia perlu berjuang melawannya," katanya.

Pengasas dan Pengarah Urusan Original Penang Kayu Nasi Kandar, Burhan Mohamed telah dilihat mengedarkan pelekat kereta 3J kepada pelanggan-pelanggannya, di SS2 di sini, Selasa.

Burhan, yang turut hadir pada majlis pelancaran kempen itu di Menara Star pada Isnin berkata, ia adalah satu pendekatan yang sangat baik kerana dilakukan sehingga ke peringkat akar umbi.

Beliau menyamakan rasuah dalam negara dengan anai-anai yang merosakkan sebuah rumah.

"Jika kita terus membiarkan anai-anai berada dalam rumah, seluruh rumah akan runtuh secara perlahan-lahan.

"Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku kepada negara kita," katanya.

Burhan berkata, Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma), di mana beliau juga adalah ahlinya akan mengadakan mesyuarat pada 16 Mei dan beliau mungkin akan mencadangkan untuk Presma menyediakan pelekat meja 3J bagi restoran yang menjadi ahli.

SPRM, rasuah, Kempen 3J

Artikel Lain