suria

Jenazah Wanndy 'Terkubur' Di Syria

Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.

SYDNEY: Malaysia tidak berhasrat untuk membawa pulang jenazah ketua militan Daesh Asia Tenggara Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang disahkan terbunuh di Syria, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau berkata keluarga Muhammad Wanndy boleh berbuat demikian dengan perlu berbincang dan berurusan dengan pihak berkuasa di Syria.

"Kerajaan Malaysia telah dimaklumkan oleh pihak risikan antarabangsa berkenaan kematian Muhammad Wanndy dalam satu serangan dron.

"Kerajaan Malaysia) tidak ada perancangan untuk membawa pulang jenazahnya. Pihak keluarga (Muhammad Wanndy) boleh berbincang dengan pihak berkuasa di sana (Syria) (untuk membawa pulang jenazah)," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dan kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari di Australia bermula Ahad lepas, berkata demikian kepada pemberita Malaysia di sini, Selasa ketika ditanya tentang warga Malaysia itu yang dilaporkan terbunuh dalam satu serangan di Raqqa, Syria pada 29 April lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara itu di laman rasmi Twitter pada Isnin selepas membuat penelitian terhadap maklumat yang diperoleh.

Pada 29 April lepas, berita kematian Muhammad Wanndy tular di laman sosial selepas isterinya Nor Mahmudah Ahmad, 28, memuat naik status dalam laman Facebook memaklumkan suaminya itu meninggal dunia dalam satu serangan dron. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Penipu Forex Ditahan

Artikel Lain