suria

Polis Tembak Seorang Geng Teloi

Foto:Info Roadblock Jpj/polis

SUNGAI PETANI: Polis menembak seorang daripada suspek 'Geng Teloi’ dan merampas 30 batang wayar kabel bernilai RM2,000 dalam kejadian di Kampung Tengkorak Batu, Bukit Selambau  dekat sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata, kejadian berlaku pada kira-kira 5.30 pagi apabila polis menerima laporan berkenaan kes curi kabel yang dilakukan oleh suspek lelaki berumur 29 tahun itu dan dua rakannya di Taman Berlian Indah dekat sini.

"Anggota unit peronda polis (MPV) yang menerima maklumat itu terus bergegas ke lokasi sebelum bertembung dengan kenderaan jenis Proton Perdana yang dinaiki kesemua suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, Ahad.

Md Zukir berkata, menyedari kegiatan mereka dihidu, suspek memecut laju kenderaan mereka namun ia terbabas dan terlanggar tangga pintu hadapan surau Kampung Tengkorak Batu, Bukit Selambau.

Dua lagi suspek lelaki yang berumur 26 dan 33 tahun terus melarikan diri akibat panik dengan kejadian itu.

Bagaimanapun, suspek berumur 29 tahun itu cuba bertindak dengan meluru ke arah seorang daripada anggota MPV sambil memegang sebilah kapak.

"Polis yang mempertahankan diri terpaksa melepaskan satu das tembakan yang mengenai paha kanan suspek,” katanya.

Melalui pemeriksaan pada kenderaan suspek, polis menemukan kesemua kabel berkenaan bersama dua pemotong kabel, satu tukul tajam, satu penukul besar dan satu gulung wayar kabel Telekom Malaysia (TM).

Semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Polis percaya suspek telah melakukan kegiatan itu lebih daripada sekali dengan modus operandi menarik kabel yang dipotong menggunakan kereta,” katanya.

Katanya polis kini dalam usaha mengesan dua lagi suspek yang melarikan diri.-Bernama

Geng Teloi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain