suria

Amukan Jemaah Solat Jumaat Jadi Tular

JOHOR BAHRU: Gara-gara membunyikan hon ketika para jemaah sedang menunaikan solat Jumaat, seorang pemandu teruk dibelasah oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

Kejadian yang dipercayai berlaku di Surau Austin Perdana, Taman Austin Perdana di sini menunjukkan kenderaan jenis Toyota Camry warna putih dikepung oleh orang ramai kerana cuba untuk melepaskan diri.

Dalam dua rakaman video, masing-masing berdurasi 47 saat dan satu minit 10 saat itu pada awalnya menunjukkan kenderaan terbabit cuba berundur tetapi dihalang oleh orang ramai yang dipercayai baru selesai menunaikan solat Jumaat.

Kemudiannya pemandu terbabit cuba melarikan diri namun gagal kerana terlalu ramai jemaah yang sedang keluar dari masjid tersebut.

Ekoran itu, sekumpulan lelaki yang marah dengan tindakan pemandu itu membunyikan hon, mereka menyepak dan memecahkan cermin kereta Camry tersebut.

Rakaman turut menunjukkan pemandu lelaki yang berkemeja warna merah itu dipukul dengan menggunakan kon keselamatan oleh para jemaah apabila dia keluar daripada kenderaannya.

Menurut dakwaan pemilik akaun Facebook yang bernama Ayie Shukri, kes berpunca apabila kereta Camry tersebut membunyikan hon untuk melalui kawasan yang sesak dengan kendereraan para jemaah.

“Kes berpunca apabila kereta Camry putih ni tak lepas nak lalu sebab jalan depan masjid sempit. Orang parkir di kiri dan kanan jalan," kata saksi.

Tambahnya, lelaki tersebut masih membunyikan hon biarpun waktu solat Jumaat sudah selesai.

Dipercayai, para jemaah sudah cuba menegur perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki itu secara baik, namun tidak diendahkan malah cuba melanggar para jemaah yang berada di lokasi berkenaan.

Orang awam yang berang dengan kelakuan lelaki itu mula menghalang keretanya dan meminta agar lelaki tersebut keluar segera tetapi lelaki itu enggan untuk keluar sebaliknya cuba melarikan diri.

Difahamkan, kes itu telah dilaporkan ke Balai Polis Setia Indah oleh kumpulan jemaah yang terlibat.

Malah pihak polis turut mengesahkan tentang kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Nasib pemandu dan penumpang kereta Camry itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan.

Sehingga kini video tersebut yang tular di laman facebook  Malaysian Response Team mendapat tontonan lebih 750,000 selepas dua jam dimuat naik.

Artikel Lain