suria

Tahfiz: Kementerian Pendidikan, Jakim Tetapkan Terma Daftar

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menentukan terma rujukan berhubung pendaftaran sekolah aliran agama persendirian termasuk madrasah tahfiz.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perbincangan antara kedua pihak itu akan diadakan dalam waktu terdekat.

"Pada peringkat awal, pegawai-pegawai akan tentukan terma rujukan itu, antaranya kelas, bangunan, asrama selain kelayakan guru di sekolah berkenaan.

"Bila dah dapat terma rujukan itu, kita akan dapatkan maklumat daripada negeri-negeri berhubung berapa jumlah sekolah tahfiz sebelum proses selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Multaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Tahun 2017 di sini, Selasa.

Mahdzir berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Isnin bagi membincangkan perkara berkaitan dengan pendaftaran madrasah tahfiz.

Minggu lalu, Mahdzir dilaporkan berkata, sekolah aliran agama persendirian termasuk madrasah tahfiz akan didaftar di bawah Jakim dalam waktu terdekat.

Mahdzir berkata, pendaftaran itu antara lain membolehkan pemantauan terhadap sekolah-sekolah yang diadakan agar mematuhi prosedur yang digariskan pihak berkuasa.

Cadangan tersebut dibuat susulan kes kematian seorang pelajar sekolah tahfiz di Kota Tinggi, Johor, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang kedua kakinya terpaksa dipotong kerana didakwa dipukul pembantu warden.

tahfiz, Mahdzir, Thaqif

Artikel Lain