suria

Jakim Nafi Lulus Konsert Selena Gomez

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan pihaknya meluluskan konsert penyanyi dari Amerika Syarikat, Selena Gomez di Shah Alam tahun lepas.

Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha berkata, kelulusan persembahan untuk konsert seperti itu tidak terletak di bawah bidang kuasanya.

"Tuduhan seperti ini boleh menjejaskan reputasi dan kredibiliti Jakim sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau mengulas kenyataan di Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali di Konvensyen PKR Pulau Pinang pada Ahad bahawa tidak wajar beliau dikritik kerana konsert tersebut telah mendapat kelulusan Jakim.

"Saya memohon kerjasama beberapa pihak untuk membuat rujukan dengan kami terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan Jakim," kata Othman.

Semasa muktamar Pemuda PAS di Alor Setar pada Jumaat, perwakilan Pemuda PAS Shah Alam, Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, PKR tidak melakukan sebarang tindakan untuk menentang konsert itu yang telah diadakan pada 25 Julai tahun lepas di Shah Alam, kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Aubidullah berkata, ia adalah salah satu sebab mengapa Pemuda PAS mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

PAS telah membantah konsert itu diadakan, dengan mendakwa pakaian Gomez terlalu seksi.

Jakim, Selena Gomez, Azmin Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain