suria

Budak Perempuan Maut Dirempuh Di Pasar Malam Cameron Highlands

IPOH: Seorang budak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia, manakala dua lagi cedera parah dilanggar sebuah van yang dipandu seorang peniaga pasar malam di Cameron Highlands malam Ahad.

Adra Mustaffa Kamal dari Kampung Tenglu Laut, Mersing, meninggal dunia di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Supritendan Hasadid A. Hamid berkata, seorang wanita berusia 22 tahun patah kaki dan seorang lagi wanita cedera parah di kepala dalam kejadian pukul 9.45 malam itu, di pasar malam Golden Hill.

Beliau berkata budak perempuan berkenaan, bersama ibu bapanya dan dua adik-beradik yang lain, sedang melihat alat mainan di salah sebuah gerai apabila kejadian berlaku.

"Pemandu van mendakwa dia telah menggerakkan vannya perlahan-lahan, dan menekan minyak untuk memastikan pelanggan memberi laluan.

"Bagaimanapun, van itu tiba-tiba bergerak ke hadapan dan merempuh beberapa gerai, termasuk gerai di mana budak perempuan itu sedang memilih mainan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemandu telah ditangkap dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya.


Cameron Highlands, Golden Hill

Artikel Sebelum

Artikel Lain