suria

Wajah Mohamad Thaqif Amin Luar Biasa - Nooh Gadut

Anggota keluarga terdekat menatap jenazah pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, buat kali terakhir di kediaman keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur, Rabu malam. Foto: Bernama

JOHOR BAHRU: Bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut melihat wajah Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang meninggal pada Khamis sebagai bercahaya, tersenyum, berseri serta luar biasa.

Beliau yang melawat jenazah pelajar tahfiz bersama beberapa pegawai dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Hospital Sultan Ismail memuji kebesaran Allah serta fadhilat membaca Al-Quran sebagai amalan oleh pelajar berkenaan.

"Saya lihat wajah Allahyarham memang luar biasa. Betullah seperti yang diperkatakan bahawa Al-Quran adalah cahaya. Cahaya bukan sahaja dalam tetapi terserlah di wajah Allahyarham.

"Saya melihat dengan sahabat-sahabat yang lain wajahnya tersenyum, berseri dan macam orang hidup lagi. Itulah kelebihan (orang yang membaca Al-Quran)," kata Penasihat MAINJ itu kepada pemberita.

Beliau menghadiri majlis perasmian Multaqa Ulama’ Darul Takzim Ke-5 sempena Sambutan Ulangtahun Keputeraan Rasmi Sultan Johor 2017, di Persada Johor di sini, Khamis.

Beliau turut kagum apabila diberitahu mengenai hasrat Allahyarham yang mahu menghafal 30 juzuk Al-Quran.

Nooh juga terharu melihat dengan kesabaran ibu bapa Allahyarham Mohamad Thaqif Amin yang reda menerima ujian tersebut sebagai qada' dan qadar daripada Allah.

Beliau turut menghargai keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap penderitaan pelajar tahfiz itu dan menghantar wakilnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menziarahi jenazah Allahyarham.

"Saya berharap kisah ini ada hikmah, ada rahsia yang akan dijadikan kesedaran semua pihak, pihak sekolah dan lain-lainnya," kata beliau.

Sehubungan itu, pihak JAIJ dijangka akan memanggil pengetua-pengetua tahfiz untuk satu pertemuan serta taklimat penyelarasan dalam jangka masa terdekat itu bagi melihat penambahbaikan pengurusan dan pendidikan tahfiz termasuk prosedur pengambilan pekerja di institusi tersebut.

"Semua pekerja kena pastikan tiada kes polis, tiada kesalahan yang boleh membawa kepada perkara seumpama ini," kata beliau.-Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain