suria

KPT Tidak Tentukan Bahan Bacaan Di Universiti

Idris Jusoh menandatangani plak simbolik melancarkan buku 'Bintang-Bintang Bergemelapan' di Dewan Seri Budiman Universiti Teknologi Mara (UiTM). Turut hadir Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said (dua, kanan).Foto: Bernama

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi tidak menentukan bahan bacaan yang digunakan penuntut-penuntut universiti di negara ini, kata Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh.

Sebaliknya, beliau berkata pihak universiti diberi kebebasan untuk menentukan bahan bacaan masing-masing termasuk yang bersifat sensitif, asalkan ia tidak melebihi had.

“Kebebasan itu ada hadnya sebab kita tidak amalkan liberalisme total. Malaysia adalah sebuah negara yang ada acuan kita sendiri.

“Saya tidak beritahu universiti apa buku yang perlu dibaca atau tidak perlu dibaca tetapi sekarang kita ada masalah besar mengenai keganasan jadi kita kena serius tentang perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Bintang-Bintang Bergemerlapan di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bekas penuntut sarjana sebuah universiti awam, Siti Noor Aishah Atam, 30, selepas didapati bersalah memiliki buku berunsur perbuatan keganasan, Mac tahun lepas.

Wanita itu didakwa memiliki 12 buah buku yang merupakan item berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas iaitu Jemaah Islamiyah, Daesh dan al-Qaeda.

Mengulas lanjut, Idris berkata walaupun semua pihak percaya kepada kebebasan untuk menuntut ilmu, namun mahkamah juga mempunyai hak untuk membuat keputusan berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan ketika perbicaraan.

“Apabila mahkamah membuat keputusan, ia bukan hanya melihat dari segi hak milik (buku) semata-mata,  ia dibuat merangkumi segala bukti yang ada di mahkamah. Kita menghormati kebijaksanaan dan keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

“Walaupun kita beri kebebasan tetapi mahkamah juga ada haknya untuk tentukan kerana kita melihat ini adalah isu keselamatan negara, bukan hanya kebebasan membaca dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai buku Bintang-Bintang Bergemerlapan, beliau berkata buku hasil karya Prof Emeritus Abdullah Hassan itu menceritakan kisah individu-individu berjaya yang dilahirkan oleh Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, Perak.

Idris yang juga alumni STAR berkata, buku itu turut menggambarkan pelan transformasi pendidikan negara yang mewujudkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk membantu kaum Bumiputera dan Melayu, yang pada peringkat awal tidak diberi peluang untuk mendapat pendidikan sekolah menengah.

“Buku ini melambangkan satu pelan transformasi Bumiputera, Melayu dengan wujudnya SBP. Ketika itu hanya ada Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Kuala Kangsar, Perak; STAR; Sekolah Datuk Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, kedua-duanya di Seremban, Negeri Sembilan dan Sekolah Tun Fatimah di Johor Bahru, Johor.

"Dulu ruang nak belajar sekolah menengah amat kurang, sebab itu kerajaan pada masa itu di bawah Parti Perikatan, UMNO telah wujudkan SBP yang telah beri jalan dan lahirkan cendiakawan serta golongan profesional,  ” katanya. -Bernama

Artikel Lain