suria

Bapa Mangsa Peluru Sesat Cadang Ambil Tindakan Undang-Undang

Bakar Saad menunjukkan bahagian peti sejuk yang terkena peluru penabur di rumahnya di Kampung Lubok Keriang, Mukim Lesong, Langgar pada Isnin. Foto Bernama

ALOR SETAR: Bapa kepada pelajar yang cedera akibat terkena peluru penabur sesat di Kampung Lubok Keriang, Mukim Lesong, Langgar di sini, bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mencederakan anaknya itu.

Bakar Saad, 45, berkata, tindakan itu bagi memberi pengajaran kepada individu yang cuai ketika mengendalikan senjata api sehingga mengakibatkan anak keduanya daripada empat beradik itu cedera dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.

"Saya marah sebab kejadian ini menyebabkan anak saya yang sedang makan nasi terkena peluru penabur, malah peti sejuk dan pinggan mangkuk saya turut terkena peluru dan rosak," katanya ketika ditemui di wad HSB di sini, Isnin.

Dalam kejadian petang Ahad, Nur Syahida Bakar, 12, cedera di muka dan beberapa bahagian badan selepas terkena peluru penabur sesat ketika sedang makan di dapur rumahnya.

Bakar berkata ketika kejadian, dia sedang makan di meja manakala Nur Syahida dan​​​​ anak bongsunya berusia tiga tahun sedang makan bersila di ruang dapur rumah sebelum terdengar letupan.

"Syahida duduk betul-betul menghadap pintu menyebabkan dia terkena (peluru penabur). Mujur isteri dan anak bongsu saya tidak terkena. Selepas melihat darah pada dahi anak saya, cepat-cepat saya meminta bantuan anak saudara untuk menghantar dia ke hospital," katanya.

Bakar percaya individu terbabit cuai ketika hendak menembak burung di kawasan bendang berdekatan, menyebabkan peluru yang dilepaskan tersasar dan memasuki pintu dapur rumahnya.

"Sebelum ini, memang ada aktiviti menembak burung ayam-ayam, tapi petang semalam tak taulah macam mana boleh terjadi. Saya akan tunggu siasatan polis sebelum bercadang mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, daripada 13 butir peluru penabur yang dilepaskan itu, dua butir telah dikeluarkan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, kanak-kanak perempuan itu masih menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSB.

Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan antaranya di dahi, sendi bahu kanan, bahagian atas tangan kanan, siku kanan, sendi paha kanan, lutut kanan dan dada.

Dr Norhizan berkata, kanak-kanak itu akan menjalani pembedahan hari ini bagi mengeluarkan​​​​​​ bendasing (peluru penabur) yang terdapat pada bahagian badan mangsa.

"Kanak-kanak itu dimasukkan (ke HSB) kira-kira 6.15 petang semalam, dan sehingga kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan pada Isnin. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain