suria

Laluan Bas Rapid Ke Klinik Kesihatan KL Mulai Selasa

KUALA LUMPUR: Bermula Selasa, orang ramai mempunyai akses yang lebih baik untuk ke Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL) di Jalan Fletcher di sini bagi mendapatkan rawatan dengan menaiki bas Rapid KL Laluan 402.

Ketua Pegawai Operasi Rapid KL, Azam Omar berkata, laluan baharu itu itu juga meliputi stesen LRT  Titiwangsa yang menghubungkan stesen LRT Ampang/ Sri Petaling serta Stesen Monorel Titiwangsa.

"Selain itu, pengguna juga boleh menaiki perkhidmatan bas Rapid KL Laluan 402 dari perhentian bas di stesen LRT KLCC  atau di stesen Laluan Ampang di Taman Maluri kerana  bas itu mengadakan perkhidmatan dari  stesen Titiwangsa ke stesen LRT Taman Maluri melalui KLCC dan Jalan Tun Razak," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Bernama sebelum ini melaporkan bahawa beribu-ribu penduduk berpendapatan rendah dan sederhana di Kuala Lumpur yang kini perlu mendapatkan rawatan pesakit luar di KKKL selepas penutupan perkhidmatan itu di Hospital Kuala Lumpur menghadapi masalah pengangkatan kerana tiada akses pengangkutan awam terus ke klinik itu.

Menurut Azam , bas itu akan berhenti berhampiran sesten Shell di Jalan Tun Razak yang hanya 70 meter ke pintu masuk belakang Klinik Pesakit Luar dari  KKKL kerana bas tidak boleh melencong di Jalan Fletcher disebabkan jalan yang terlalu sempit. 

Beliau berkata, kekerapan bas ialah setiap 30 minit dan  buat permulaan, sebanyak lima bas disediakan dan akan meningkatkan bilangannya jika ada permintaan yang tinggi.

"Satu tiang bas akan didirikan esok untuk kemudahan pengguna. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju  untuk membina sebuah perhentian bas dan laluan berbumbung untuk kemudahan pejalan kaki," kata beliau. - Bernama


Artikel Lain