suria

Kes Pukul Pelajar Tahfiz: Pembantu Warden Direman

KOTA TINGGI: Seorang pembantu warden asrama madrasah tahfiz swasta di sini, direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes pukul membabitkan seorang pelajar tahfiz berusia 11 tahun.

Majistret Mazana Sinin membenarkan permohonan polis untuk menahan reman lelaki berumur 29 tahun itu bermula Ahad sehingga Rabu ini.

Terdahulu, lelaki berpakaian oren lokap polis itu tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen/Majistret di sini, pada 9.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman semalam, turut mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada ibu Mohamad Thaqif Amin iaitu Felda Wani Ahmad, pada 18 April lepas, yang mendakwa anaknya dipukul oleh warden sekolahnya dengan paip getah pada 24 Mac lepas.

Pembantu warden itu ditahan polis di rumahnya di Felda Lok Heng Barat, di sini, kira-kira 4 petang Sabtu.

Rahmat berkata polis kini sedang menunggu laporan penuh pihak hospital berhubung punca sebenar penyakit yang dialami Mohamad Thaqif Amin sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Pada Sabtu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat, dilaporkan berkata Mohamad Thaqif Amin terpaksa dipotong kedua kakinya kerana mahu mengelakkan jangkitan kuman ke atas tubuh badan namun pelajar itu kemudian disahkan koma.

Pelajar tersebut, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffie dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, Rabu lepas, menjadi tular di media sosial selepas dipercayai mengalami kesakitan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas akibat dipukul oleh pembantu warden. - BERNAMA

Pukul, Pelajar Tahfiz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain