suria

Tanah Di Pos Belatim Kekal Milik Orang Asli

Anggota Jawatankuasa Bertindak Wilayah Tanah Adat Orang Asli Pos Belatim, Angah Along,60, (tengah) bersama masyarakat Orang Asli yang terlibat, gembira selepas Mahkamah Tinggi pada Ahad memutuskan tanah seluas 9,300 hektar di pos itu kekal sebagai tanah adat Orang Asli. Foto: Bernama

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi memutuskan tanah seluas 9,300 hektar di Pos Belatim, Gua Musang, kekal sebagai tanah adat Orang Asli.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman Ab Aziz turut membatalkan perjanjian yang ditandatangani  oleh kerajaan negeri untuk membangunkan projek Ladang Rakyat seluas 1,000 hektar di kawasan berkenaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Zainal Azman mengarahkan kerajaan negeri dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan membuat pemetaan secara halus kawasan terbabit dalam tempoh sebulan bermula Ahad (23 April 2017).

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar kos RM50,000 kepada tiga plaintif iaitu Rosli Along, Angah Along dan Hassan Alang.

Pada 2011, Rosli, Angah dan Hassan yang mewakili penduduk Orang Asli Pos Belatim, memfailkan permohonan bagi perintah certiorari untuk membatalkan keputusan kerajaan negeri yang memberi milik tanah sebahagian yang diduduki Orang Asli di Mukim Ulu Nenggiri, Gua Musang, bagi pembangunan Ladang Rakyat.

Ketiga-tiga plaintif menamakan kerajaan negeri Kelantan dan Pengarah Tanah dan Galian negeri sebagai responden.

Kes itu dikendalikan pasukan peguam daripada Jawatankuasa Hak Orang Asli, Majlis Peguam terdiri daripada Lim Heng Seng, Dr Yogeswaran Subramaniam, Tan Hooi Ping dan M Rajkumar.

Kerajaan Kelantan pula diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang kerajaan negeri Nazlyza Mohd Nazri.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain