suria

Perlis Jelas Tolak Syiah - Raja Perlis

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan menerima cendera kenangan daripada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Abdul Adzis Abas yang berupa gambar muka hadapan kulit majalah Tamadun Islam Edisi Kembara Titah Tuanku Raja Perlis keluaran DBP pada majlis penutup Multaqa Tuanku Raja Perlis "Peranan Ulul Amri dalam pelaksanaan Agama Islam" di Dewan Warisan pada Khamis. Foto: Bernama

KANGAR: Masyarakat perlu memahami dengan betul mengenai pegangan negeri Perlis dalam beragama yang jelas menolak sekeras-kerasnya fahaman syiah, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah pelbagai inisiatif dilakukan negeri ini dalam usaha mengangkat martabat Islam berlandaskan manhaj Ahli Sunnah Waljamaah selain perlu merujuk kepada al-Quran dan sunnah sebagai panduan.

"Setiap yang dilakukan perlu menonjolkan jati diri Islam yang sebenar serta membawa ke arah sejahtera kerana Islam adalah agama Rahmatan Lil 'Alamin (membawa rahmat dan kesejahteraan bagi semua seluruh alam semesta)," titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa menutup Multaqa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Dewan Warisan di sini pada Khamis.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Multaqa atau himpunan yang julung kalinya diadakan oleh Jabatan Agama Islam  Negeri Perlis dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Mufti Negeri Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta barisan kepimpinan negeri.

Baginda bertitah negeri Perlis mempunyai Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang telah terlebih dahulu mengiktiraf Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai manhaj Islam yang diamalkan di negeri ini.

Justeru, Perlis mengiktiraf mazhab-mazhab utama di bawah aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi tidak pula terikat untuk mengamalkan pandangan daripada satu mazhab sahaja.

"Selaras dengan perkembangan tamadun dan pemodenan masyarakat, terdapat pelbagai tafsiran atau ijtihad tentang sesuatu amalan yang boleh diambil oleh pemerintah atau 'Ulil Amri mengikut sosiobudaya sesuatu tempat.

"Dalam hal ini, kita dibimbing dengan khidmat nasihat Jabatan Mufti dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri yang menentukan pandangan  terbaik  untuk  masyarakat dapat mengamalkan agama Islam dengan harmoni  tanpa   sebarang   rasa   prejudis   ataupun   keliru," titah baginda.-Bernama

Raja Perlis, Tolak Syiah

Artikel Sebelum

Artikel Lain