suria

Tiada Lambakan Penjawat Awam - KPPA

GAMBAR FAIL

PUTRAJAYA: Jumlah penjawat awam di negara ini adalah munasabah dengan nisbah 1:44 jika tidak mengambil kira sektor perkhidmatan pendidikan, keselamatan dan kesihatan seperti di beberapa negara lain, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Mengulas isu lambakan penjawat awam yang dibangkitkan sebuah portal berita baru-baru ini, beliau berkata jumlah guru, polis, tentera dan anggota perkhidmatan kesihatan setakat 31 Mac lepas adalah 917,210 orang iaitu kira-kira 57 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam.

Beliau memberitahu nisbah penjawat awam kepada populasi negara ini iaitu 1:19 yang dinyatakan portal terbabit adalah mengikut definisi yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengambil kira tiga sektor itu.

Di beberapa negara maju, katanya nisbah penjawat awam adalah lebih tinggi jika diambil kira tiga sektor terbabit, dengan United Kingdom adalah 1:18, Amerika Syarikat (1:14), New Zealand (1:13), dan Australia (1:12).

"Kita harus fahami definisi penjawat awam di negara kita yang merangkumi semua sektor perkhidmatan, tidak seperti di negara lain. Jadi, jumlah yang ada ketika ini adalah munasabah mengikut keperluan," katanya dalam wawancara sempena 100 hari perkhidmatan beliau sebagai KPPA, di sini pada Rabu.

Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan emolumen kerajaan akan meningkat kepada kira-kira RM184 bilion pada 2027 berbanding RM77.42 bilion tahun ini berikutan bilangan penjawat awam yang ramai.

Zainal Rahim berkata emolumen penjawat awam Malaysia juga adalah sederhana berbanding beberapa negara lain.

"Contohnya di Singapura, gaji penjawat awam pada tahap gred 41, tiga kali ganda berbanding negara kita, itu dalam Dolar Singapura," katanya.

Selain itu, katanya 2.8 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam di negara ini juga adalah berstatus kontrak, yang menurutnya tidak membebankan kewangan kerajaan.

"Mereka berstatus kontrak ini ada yang telah lama menyumbang kepada kerajaan, jadi sebagai kerajaan yang penyayang, ada antara mereka yang diserapkan kepada jawatan tetap bagi menghargai sumbangan mereka," katanya.

Mengulas mengenai Dasar Pemisah (exit policy) yang mula dilaksanakan tahun ini, katanya seramai 1,250 penjawat awam telah direkodkan mempunyai prestasi rendah dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) di bawah 60 peratus bagi 2016.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 701 telah dikenal pasti untuk dimasukkan di bawah proses pemulihan selama setahun bagi meningkatkan prestasi mereka.

"Jika selepas proses pemulihan mereka masih gagal, maka tindakan di bawah Dasar Pemisah akan diambil pada hujung tahun ini dengan menamatkan perkhidmatan mereka," katanya.

Menyentuh mengenai status tindakan susulan kepada Laporan Ketua Audit Negara 2012 hingga 2015, katanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengambil tindakan terhadap 493 pegawai, dengan 160 telah dikenakan hukuman, bebas (308), dalam prosiding (23) dan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (2).

Justeru, Zainal Rahim berharap semua anggota perkhidmatan awam meneruskan tradisi kecemerlangan, memperkukuhkan jati diri, berintegriti dan mematuhi dasar-dasar kerajaan.

KPPA, Zainal Rahim Seman

Artikel Lain