Bomba Nafi Lambat Padam Kebakaran - Semasa | mStar

Bomba Nafi Lambat Padam Kebakaran

PENGARAH Bomba dan Penyelamat Kelantan, Nazili Mahmood (kanan) meninjau kesan kebakaran di Berek 12 pada 19 April 2017. - BERNAMA

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menafikan agensi itu lambat tiba ke lokasi kejadian kebakaran membabitkan lapan buah rumah di Jalan Berek 12 di sini, Isnin lepas.

Pengarahnya Nazili Mahmood berkata malah, kecekapan 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Kota Darul Naim, Pasir Tumboh dan Tunjong dapat menyelamatkan lebih 40 rumah membabitkan nilai harta benda sebanyak RM2 juta di kawasan setinggan berkenaan.

"Kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan sebanyak RM250,000 tetapi sekiranya tanpa kecekapan anggota bomba yang bertugas sudah pasti jumlah kerugian lebih besar.

"Sepertimana yang kita maklum, waktu kejadian adalah tengah hari dan angin kuat. Sudah pasti api cepat marak dan merebak apatah lagi rumah di situ dibuat menggunakan papan," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak kebakaran berkenaan di sini, Rabu.

Sebelum ini, tular di laman sosial mendakwa kononnya pasukan penyelamat itu lambat tiba ke lokasi hingga menyebabkan kemusnahan lapan buah rumah dalam kebakaran tersebut.

Beliau berkata JBPM Kelantan turut membuka Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) di lokasi kebakaran dalam usaha membantu mangsa terbabit dalam pengurusan dokumen yang musnah dalam kejadian itu. - BERNAMA

Bomba , Kebakaran

Artikel Sebelum

Harga Petrol, Diesel Naik

Artikel Berikut

Tiada Lambakan Penjawat Awam - KPPA

Artikel Berkaitan

Dua Beradik Rentung Di Lawas

Lebih Artikel