suria

Lelaki Kendali Skim Pelaburan Palsu Ditahan

Acryl Sani Abdullah Sani.

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai antara suspek utama dalam penipuan skim pelaburan ''Crude Palm Oil'' melibatkan kerugian RM31 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata suspek lelaki berusia 35 tahun itu telah ditahan di sebuah kawasan perumahan di ibu kota pada pukul 6 petang Ahad.

"Turut dirampas lima kenderaan mewah termasuk dua buah motosikal berkuasa tinggi bersama geran tanah dan wang tunai sebanyak RM 53,035.

"Lelaki ini berperanan sebagai pengendali akaun syarikat pelaburan itu dan juga merupakan anak kepada suspek utama," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Acryl Sani berkata pihaknya telah menerima sebanyak 248 laporan polis berhubung skim pelaburan terbabit.

"Berdasarkan siasatan, syarikat yang telah beroperasi sejak awal tahun lepas itu mendakwa menjalankan pelaburan berasaskan jual beli minyak kelapa sawit dengan menawarkan empat pakej pelaburan," katanya.

Selain itu, syarikat itu turut menjanjikan keuntungan sehingga 30 peratus dan bayaran dividen setiap 12 hari bekerja setiap bulan.

Menurut Acryl Sani, pada peringkat awal, syarikat terbabit telah membayar dividen seperti yang dijanjikan.

Namun, syarikat itu ditutup dan anggota lembaga syarikat melarikan diri selepas kebanyakan pelabur membuat penambahan pelaburan dalam jumlah yang besar.

Acryl Sani berkata lelaki terbabit direman empat hari bermula Isnin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. - BERNAMA

pelaburan palsu, Crude Palm Oil

Artikel Lain