suria

Kaji Pelaksanaan Perakam Waktu Di Sekolah – PIBGN, NUTP

PETALING JAYA: Badan-badan bukan kerajaan (NGO) menyarankan supaya kajian lebih terperinci dilakukan terhadap cadangan pelaksanaan alat perakam waktu dalam usaha untuk mengatasi masalah kelewatan kehadiran murid ke sekolah.

Walaupun menyokong inisiatif yang bertujuan melatih murid berdisiplin, beberapa perkara perlu diambil kira bagi memastikan ia berkesan dan dimanfaatkan sewajarnya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, perakam waktu itu perlu diawasi supaya pelaksanaannya tidak disalahguna.

“Pihak sekolah perlu memastikan ia bukan sahaja merekod kehadiran murid tetapi juga waktu tamat persekolahan mereka. Kita tidak mahu murid datang awal, tetapi lepas itu mereka ‘hilang’ atau balik awal.

“Pengawasan juga perlu dilaksanakan bagi mengelakkan murid tidak meminta rakan-rakan membantu ‘merekodkan’ kehadiran mereka,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Pada Khamis, Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak (SKKBG) di Terengganu memperkenalkan alat perakam waktu yang merupakan inisiatif PIBG dan pihak sekolah berkenaan, membabitkan kos sebanyak RM6,000.

Mohamad Ali berkata, pihak sekolah dan PIBG harus memastikan bahawa kos pemasangan alat perakam waktu tidak membebankan mereka.

"Kita kena kaji adakah alat perakam waktu itu akan dipasang di setiap kelas atau hanya satu sahaja di sekolah. Kena lihat kos dan bilangan pelajar.

“Walaupun pendekatan ini mampu mengajar murid mengurus masa lebih bijak, tetapi ia tidaklah perlu mewajibkannya ke atas semua sekolah," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd Razak berkata, kajian terperinci juga perlu dilaksanakan bagi memastikan ia benar-benar mengatasi masalah kelewatan murid.

“Kita kaji apakah punca kelewatan murid ke sekolah. Kita perlu faham terdapat golongan pelajar yang berbeza-beza seperti faktor keluarga mereka.

“Adakah kelewatan itu disebabkan murid sendiri, atau ibu bapa mereka. Kita perlu memastikan perakam waktu ini bersifat mendidik dan membudayakan pelajar untuk datang ke sekolah, bukan sebaliknya,” katanya.

Kamarozaman berkata, perakam waktu dilihat lebih sesuai dilaksanakan di sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan murid yang kecil.

“Kalau jumlah murid ramai, nanti mereka kena beratur panjang pula. Nanti murid terpaksa terkejar-kejar masa sehingga membebankan mereka.

“Mungkin juga sekolah-sekolah yang mencatatkan jumlah kelewatan murid tertinggi lebih sesuai untuk melaksanakannya,” katanya sambil menambah pelaksanaan itu perlu mendapat persetujuan bersama antara ibu bapa, guru dan pihak sekolah.

NUTP, PIBGN

Artikel Berikut

Artikel Lain