suria

RUU355 Bukan Jalan Belakang Laksana Hudud - Abdul Hadi

PETALING JAYA: Selepas berdepan halangan pada sesi sidang Dewan Rakyat, akhirnya hanya 22 minit digunakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Menjelaskan perbezaan antara perundangan syariah yang perlu dinaik taraf dengan kuasa yang lebih dan membandingkan undang-undang sivil negara, Ahli Parlimen Marang itu menggunakan ruang yang diberi untuk meyakinkan semua pihak di Parlimen.

Malahan, Presiden PAS itu juga menegaskan perundangan itu bukan pintu belakang untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Pada akhir pembentangannya itu, beliau juga seolah-olah mengakui adalah sukar untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini.

"Bagi melaksanakan hudud di Malaysia, sekurang-kurangnya tiga pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan dan ia sukar dilaksanakan.

"Malahan, pindaan RUU355 ini hanya terhad kepada bidang kuasa syariah," katanya yang turut menempelak wakil rakyat yang menolak perundangan itu.

Abdul Hadi berkata hukuman di bawah undang-undang Islam itu bertujuan untuk mendidik, bukan bertujuan menyeksa pesalah.

“Sebatan dalam Islam bukan sebatan sivil, mesti dengan alat sebat yang sederhana, yang tak berat dan tidak ringan.

“Malahan,  tak boleh angkat (tangan) lebih tinggi dari kepala, tak boleh hingga menyiat kulit, tak boleh cederakan cuma untuk malukan," katanya.

Abdul Hadi berkata, Ahli Parlimen terlibat juga tidak berhak menolak penambahbaikan undang-undang syariah itu kerana ia untuk kepentingan masyarakat Islam di kawasan yang diwakili mereka.

Beliau turut menjelaskan kepada anggota Dewan Rakyat bahawa pindaan itu tidak melibatkan golongan bukan Islam dan sebagai perundangan syriah ia terletak pada kuasa negeri.

"Bukan Islam tidak perlu bimbang kerana mereka tidak akan disabitkan mengikut RUU 355. Ia tertakluk kepada negeri.

"Jika diterima dan dilulus, semua Ahli Dewan Undangan Negeri berkesempatan membahas untuk setiap kesalahan jenayah syariah," katanya.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS itu mencadangkan pindaan Seksyen 2 pada RUU 355 untuk meningkatkan hukuman sedia ada iaitu penjara kepada lebih tiga tahun atau denda lebih RM5,000 atau lebih enam kali sebatan kepada dihukum penjara lebih 30 tahun atau denda lebih RM100,000 atau 100 sebatan seiiring jenayah syariah.

Pembentangan Abdul Hadi itu berjalan lancar walaupun terdahulu berdepan halangan berulang kali oleh beberapa ahli Parlimen terutama penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

Bagaimanapun, usaha wakil rakyat terlibat gagal apabila Abdul Hadi diberi ruang oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk membentangkan RUU 355 itu.

Menjelaskan keputusannya membenarkan Abdul Hadi membentangkan RUU 355, Pandikar Amin berkata, ia dibuat selepas mendapat arahan pihak kerajaan untuk memberi keutamaan kepada pindaan perundangan itu.



Abdul Hadi, PAS, Dewan Rakyat, RUU355

Artikel Lain