suria

Pemandu Treler Didakwa Pandu Laju Hingga Ragut Nyawa Enam Sekeluarga

Enam maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki semua mangsa dihempap treler yang terbabas di KM403.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Tanjung Malim pada 2 April lalu.

KUALA KUBU BHARU: Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara laju sehingga meragut nyawa enam sekeluarga dalam nahas di Lebuhraya Utara-Selatan, Ahad lalu.

Muhammad Syahrul Nizam Anuar, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhelmy Hasan yang bertindak sebagai Majistret.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa atas kesalahan itu susulan nahas di Kilometer 403.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, pada 7.46 pagi, 2 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandunya dirampas. 

Mahkamah menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian itu, Lam Wai Loon, 46, isterinya Wong Check Lee, 53, serta dua anak lelaki mereka Lam Jie Yang, 19, dan Lam Jie Yong, 13, terbunuh di tempat kejadian.

Turut maut ialah bapa dan adik lelaki Wai Loon, iaitu Lam Leong Choy, 76, dan Lam Wai Keat, 38.

Ketika kejadian, enam sekeluarga itu dalam perjalanan ke Bidor, Perak, untuk melawat kubur ahli keluarga mereka apabila treler itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum menghempap kenderaan utiliti sukan (SUV) SsangYong yang dinaiki mangsa berhampiran Plaza Tol Tanjung Malim.-- Bernama

Artikel Lain