suria

Perundangan Baharu Kawal Selia Khidmat E-Hailing, Lindungi Pemandu

KUALA LUMPUR: Perundangan baharu telah dibentangkan di Parlimen untuk mengawal selia perkhidmatan e-hailing bagi melindungi pemandunya daripada diganggu atau diserang.

Rang Undang-Undang itu memperkenalkan lesen perniagaan penghantaran untuk menjadikan khidmat e-hailing sah dengan mendefinasikan kenderaan yang digunakan sebagai kenderaan awam.

Ia susulan pindaan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial (LPKP) 1987 dan Akta Pengangkutan Darat Awam 2010.

Bacaan pertama perundangan itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri pada Selasa bagi memperbaharui lesen termasuk permohonan untuk memperbaharuinya  mengikut tempoh yang ditetapkan LPKP.

Rang undang-undang itu menetapkan setiap kenderaan e-hailing perlu mempunyai kapasiti antara empat hingga 11 tempat duduk termasuk pemandu untuk setiap perjalanan bagi bayaran sehala atau berasingan dengan tempahan dibuat menerusi aplikasi telefon.

Mengikut Seksyen 26A (1), diwajibkan bagi syarikat khidmat e-hailing untuk mempunyai lesen perniagaan penghantaran dan mematuhi syarat yang ditetapkan LPKP.

Syarat yang ditetapkan termasuk perkhidmatan yang disediakan, langkah keselamatan penumpang dan tahap pencapaian yang perlu dipenuhi syarikat terlibat.

Individu yang menyediakan perkhidmatan e-hailing tanpa lesen boleh didenda sehingga RM500,0000, dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pihak yang gagal mematuhi ketetapan yang ditetapkan LPKP boleh didenda minimum RM1,000 dan maksimum RM200,000 atau tidak lebih dua tahun penjara atau kedua-duanya.

Pindaan Seksyen 200 Akta SPAD pula untuk memasukkan tindakan terhadap pihak yang menyerang, mengancam pihak yang menyediakan perkhidmatan e-hailing.

Jika bersabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau dipenjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.

Mengikut Seksyen 12E, pihak yang menyediakan perkhidmatan e-hailing tidak boleh memindahkan lesen perniagaan.

Jika berbuat demikian, individu terlibat boleh didenda minimum RM1,000 dan maksimum RM10,000, penjara setahun atau kedua-duanya.







e-hailing, Parlimen, SPAD

Artikel Berikut

Polis Rampas 87Kg Daun Ketum

Artikel Lain