suria

Skim Insurans Bagi Kawasan Dilanda Banjir Berdepan Masalah - Shahidan

Shahidan Kassim.

KUALA LUMPUR: Usaha untuk melaksanakan skim insurans bagi kawasan sering dilanda banjir di negara ini berdepan sedikit masalah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shadhidan Kassim berkata rundingan telah diadakan dengan beberapa syarikat insurans pada Julai lalu selepas Kabinet memberi kelulusan bagi skim insurans Kampungku yang akan diperluaskan ke kawasan lain.

"Kami memanggil 10 syarikat untuk berbincang tetapi kami tidak dapat menerima syarat yang mereka mahukan.

"Mereka mahu bilangan minimum mangsa banjir di kawasan tertentu supaya skim itu boleh dilaksanakan tanpa sebarang kerugian," katanya kepada Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) di Parlimen pada Selasa.

Hasbullah bertanya sama ada kerajaan bersedia untuk memperluaskan 'Model Kemaman Siapsiaga', di mana skim insurans Kampungku telah terbukti berjaya.

Kira-kira RM569,000 dalam manfaat insurans telah dibayar kepada 569 mangsa banjir di Kemaman berikutan banjir di negeri itu pada November 2015.

Shahidan berkata syarikat insurans tersebut melihat kepada pangkalan penduduk yang melibatkan seramai 700,000 mangsa manakala hanya 100,000 yang terjejas akibat banjir di Kemaman.

Namun, Shahidan berkata kerajaan masih berminat untuk melaksanakan skim insurans bagi kawasan yang sering dilanda banjir.

"Kerajaan telah bersetuju pada dasarnya terhadap model di mana 50 peratus daripada premium insurans dibayar oleh penduduk dengan bakinya ditanggung Ahli Parlimen kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata beberapa universiti tempatan dan syarikat insurans sedang mencari jalan untuk mencari skim yang bersesuaian.

skim insurans, Shahidan Kassim

Artikel Lain