suria

Okay Perogol Kahwini Mangsa - Ahli Parlimen Tasek Gelugor

Shabudin Yahaya.

KUALA LUMPUR: Bukan kesalahan mangsa rogol berkahwin dengan perogol, kata seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), malah menyifatkan kanak-kanak perempuan yang berusia sembilan tahun juga bersedia secara fizikal dan rohani untuk berkahwin.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membidas Dr Siti Mariah Mahmud (Amanah-Kota Raja) dengan memberitahu bahawa remaja berusia 12 dan 15 tahun kelihatan lebih dewasa daripada usia mereka.

"Bila kita cakap pasal mereka yang berusia 12 dan 15 tahun, kita tidak melihat fizikal mereka kerana bagi kanak-kanak berusia 12 tahun atau remaja 15 tahun, mereka kelihatan seperti gadis 18 tahun," kata Shabudin di Dewan Rakyat pada Selasa.

Bekas hakim mahkamah syariah itu menambah, sebahagian kanak-kanak perempuan mencapai akil baligh seawal sembilan tahun, dan mereka bersedia dari segi fizikal dan rohani untuk memasuki alam perkahwinan.

"Jadi, tidak mustahil bagi mereka untuk berkahwin," kata Shabudin sambil menambah bahawa "tiada salahnya" mangsa rogol berkahwin dengan perogol kerana ia dapat menangani masalah sosial.

Shabudin berkata demikian semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, selepas ahli Parlimen pembangkang mencadangkan supaya pindaan dibuat bagi memasukkan perkahwinan kanak-kanak sebagai satu kesalahan.

Beliau berkata, walapun rogol merupakan kesalahan jenayah, perogol dan mangsa perlu diberikan peluang kedua untuk menjalani kehidupan baharu.

"Mungkin melalui perkahwinan mereka boleh membawakan kehidupan lebih sihat dan lebih baik. Dan orang yang telah dirogol tidak semestinya berdepan dengan masa depan yang gelap. Sekurang-kurangnya dia akan mempunyai suami, dan ini boleh dijadikan sebagai pengubat kepada perkembangan masalah sosial," katanya.

Dr Siti Mariah bagaimanapun membahaskan bahawa membenarkan perogol mengahwini mangsa tidak menjamin kehidupan lebih baik.

"Saya tidak setuju mengahwinkan mangsa dengan perogol. Jika perogol itu bertaubat, mungkin boleh, tetapi bagaimana kalau suaminya itu 'haprak' (tidak berguna)?" katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain