suria

RUU Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang bertujuan melindungi dan menjaga kebajikan kanak-kanak di Malaysia, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa.

RUU itu, yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, memperuntuk kesalahan dan hukuman termasuk pornografi kanak-kanak, pengantunan, amang seksual fizikal dan amang seksual bukan fizikal.

Mengikut RUU itu, mana-mana orang yang membuat, menghasilkan, mengarahkan pembuatan atau penghasilan pornografi kanak-kanak boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Individu yang mengakses atau mempunyai dalam milikan dan kawalannya apa-apa pornografi kanak-kanak pula boleh dihukum selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

RUU itu juga menyebut individu yang melakukan kesalahan amang seksual fizikal boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ini termasuk menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak, membuatkan kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian orang itu atau melakukan kontak fizikal dengan kanak-kanak tanpa persetubuhan.

Bagi amang seksual bukan fizikal seperti melakukan aktiviti bersifat seksual dihadapan kanak-kanak selain mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak dengan apa cara berulang kali atau kerap, individu yang melakukan kesalahan itu boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

RUU itu juga memperuntukkan mana-mana orang yang tidak memberikan maklumat mengenai perlakuan atau niat mana-mana individu untuk melakukan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000.

Dalam sidang media selepas itu, Azalina berkata pihak kerajaan dan pembangkang komited dalam menangani isu kesalahan-kesalahan seksual yang melibatkan kanak-kanak.

Beliau berkata setakat ini, RUU itu telah mendapat sokongan daripada 115 Anggota Parlimen termasuk pembangkang.

"Rang Undang-undang ini memperuntuk kesalahan-kesalahan tambahan untuk menyokong undang-undang yang sedia ada," katanya.

Turut hadir pada sidang berita itu ialah Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid dan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar. 

Azalina berkata RUU itu juga mampu mempercepat proses mahkamah berbanding proses terdahulu yang mengambil masa lama.

Dalam pada itu, beliau berkata Mahkamah Jenayah Khas yang dicadang penubuhannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengendalikan prosiding jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang menjadi mangsa, akan dibangunkan di ibu negara sebelum diperluas ke negeri-negeri lain.

Sementara itu, Rohani berkata rang undang-undang itu penting kerana adanya perkara-perkara yang tidak ada dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

"Kami mengalu-alukan rang undang-undang ini sebab ia merangkumi secara meluas terutamanya kepada si pelaku," katanya.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata walaupun adanya perbezaan pendapat namun, adalah penting bagi semua Anggota Parlimen bersatu bagi mempertahankandan melindungi kanak-kanak.

RUU Seksual Kanak-Kanak

Artikel Lain