suria

UPSI Cipta Rekod Tarian Tradisional Terbanyak Dalam Satu Acara

Shahrizat bergambar bersama penari-penari yang berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Record (MBOR) menerusi 'Tarian Tradisional Terbanyak Dalam Satu Acara' yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam Isnin. Foto Bernama

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi 'Tarian Tradisional Terbanyak Dalam Satu Acara' apabila 30 tarian tradisional pelbagai kaum dipersembahkan tanpa henti selama dua jam.

Tarian itu melibatkan penyertaan 140 penari terdiri daripada 115 pelajar UPSI dan 25 orang dari Persatuan Teluk Intan.

Antara tarian dipersembahkan ialah Zapin; Sumazau; Bharathanatyam; Bangra; Mak Yong; Sewang; Khatak; Inang Lama; Zapin Bunga Hutan serta dua tarian yang dipersembahkan Persatuan Teluk Intan - tarian Naga dan Singa.

Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil merasmikan program berkenaan yang berlangsung di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah Proton City di sini, malam Isnin.

Program anjuran Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid UPSI itu mendapat kerjasama daripada kerajaan Perak, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Program itu dianjurkan bertujuan mengeratkan perpaduan kaum serta memberi pendedahan kepada masyarakat setempat mengenai keunikan budaya dan tarian tradisional setiap kaum di negara ini.

Sijil MBOR itu diserahkan kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah oleh wakil MBOR, Siti Hajar Johor.

Shahrizat dalam ucapannya berkata, beliau terpegun dan terpukau dengan kreativiti persembahan tarian yang dipersembahkan oleh pelajar UPSI.

"Persembahan malam ini bukan sekadar mencipta rekod MBOR tetapi setaraf rekod dunia dan jika beginilah kualiti anak muda, Malaysia mampu mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Kesemua peserta bukan sekadar menunjukkan kehebatan luar biasa tetapi persembahan tarian itu lebih menggabungkan pendidikan secara holistik, kerjasama secara berkumpulan, fokus, disiplin dan kreativiti yang ditunjukkan oleh mereka," katanya. - Bernama

UPSI, MBOR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain